Kuala Lumpur, 18 Mei 2025 – Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) mengumumkan pelantikan Dato’ Muzaffar Hisham sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) yang baharu, berkuatkuasa 18 Mei 2025.
Dengan lebih daripada 20 tahun pengalaman dalam industri perbankan serantau, Dato’ Muzaffar mempunyai rekod pencapaian cemerlang dalam merancang strategi pertumbuhan perniagaan dan peluasan serantau merentasi pelbagai sektor, termasuk perbankan borong dan runcit, perbankan pelaburan, perbendaharaan, pengurusan aset dan liputan pelanggan. Sebelum menyertai BPMB, beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Islamic Banking, yang mana beliau telah berjaya memperluas skala dan capaian perbankan Islam, memajukan kepimpinan global dalam pengurusan kekayaan Islam, serta menerajui inovasi penyelesaian digital dalam kumpulan tersebut.
Pengerusi BPMB, Dato’ Sulaiman Mohd Tahir berkata: “Kami dengan sukacitanya menyambut baik Dato’ Muzaffar Hisham ke BPMB. Kepimpinan beliau yang terbukti dan pemahaman yang mendalam terhadap landskap perkhidmatan kewangan, baik di peringkat tempatan mahupun serantau, akan menjadi pemacu utama dalam hala tuju strategik BPMB. Kami yakin bahawa di bawah kepimpinan beliau, BPMB akan terus memainkan peranan penting dalam memacu agenda pembangunan negara dan memberikan nilai jangka panjang kepada para pemegang taruh kami.”
Dato’ Muzaffar Hisham, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB yang baharu dilantik, berkata: “Saya amat berbesar hati untuk menyertai BPMB pada waktu yang cukup penting ini. Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan Lembaga Pengarah, pihak pengurusan dan para pemegang taruh bagi memperkukuh asas BPMB yang telah sedia terbina. Bersama-sama, kita akan lebih memperkasa peranan BPMB sebagai institusi kewangan pembangunan utama yang komited dalam menyokong kemajuan sosio-ekonomi dan aspirasi kelestarian Malaysia. Saya komited untuk menerajui usaha ini bersama dalam menyampaikan modal impak demi pembangunan negara.”
###
Mengenai Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB)
Ditubuhkan pada 28 November 1973, Bank Pembangunan Malaysia Berhad merupakan institusi kewangan pembangunan milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan). Bank ini memiliki penarafan tertinggi ‘AAA’ daripada RAM Rating Services Berhad dan Malaysia Rating Corporation Berhad dan tertakluk kepada kawal selia Bank Negara Malaysia di bawah Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002.
Dengan jumlah aset terkumpul sebanyak RM29.0 bilion setakat 31 Disember 2023, Bank Pembangunan berada dalam kedudukan kukuh untuk memenuhi keperluan pembiayaan dan pembangunan perniagaan di Malaysia. Bermula 1 Mei 2025, EXIM Bank dan SME Bank telah menjadi anak syarikat milik penuh Bank Pembangunan Malaysia Berhad.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.bpmb.com.my.
For more information, please contact:
Sazu Zulkifli
Corporate Communications
Bank Pembangunan Malaysia Berhad
ym.moc.bmpb@ilfikluz.nnyluzas
+6019-240 9498