Kuala Lumpur: 30 Julai 2026 – Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (“Kumpulan BPMB” atau “Kumpulan”) hari ini mengukuhkan komitmennya dalam memacu peralihan iklim Malaysia menerusi pelancaran kohort kedua ‘Climate Finance Innovation Lab’ (“CFIL”), sebuah platform diterajui industri yang dikelola oleh BPMB di bawah ‘Joint Committee on Climate Change’ (“JC3”), yang dipengerusikan bersama oleh Bank Negara Malaysia (“BNM”) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (“SC”).
Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan BPMB, Zakiah Mat Esa berkata, “CFIL mencerminkan komitmen BPMB dalam memperkukuh ekosistem pembiayaan iklim Malaysia dengan menyokong pembangunan projek berkaitan iklim dan berimpak positif kepada alam semula jadi yang bersedia untuk pelaburan melalui kerjasama yang strategik. Selain menyediakan pembiayaan, platform ini menghimpunkan pihak pengawal selia, institusi kewangan, pelabur serta rakan ekosistem bagi meningkatkan kesiapsiagaan projek, memudah cara penyaluran pelaburan dan memacu pelaksanaan inisiatif iklim berimpak tinggi. Berlandaskan momentum kukuh daripada kohort pertama, kami berharap dapat terus mengembangkan ekosistem ini serta menyokong projek yang mampu memberi impak pembangunan dan alam sekitar yang bermakna kepada Malaysia.”
Sejak dipertanggungjawabkan sebagai pentadbir program pada Jun 2025, BPMB telah berjaya membangunkan CFIL sebagai platform nasional yang menghimpunkan pihak pengawal selia, institusi kewangan, pelabur, pemaju projek dan rakan ekosistem bagi memacu pembangunan projek berkaitan iklim dan berimpak positif kepada alam semula jadi yang bersedia untuk pelaburan. Dalam tempoh tahun pertama pelaksanaannya, CFIL telah meletakkan asas yang kukuh kepada ekosistem pembiayaan iklim Malaysia menerusi pengukuhan pembangunan projek, penyelarasan ekosistem serta penyaluran pelaburan.
Membina Kejayaan Kohort Pertama
Kohort pertama membuktikan keberkesanan pendekatan kolaboratif ini. CFIL telah berjaya menerima penyertaan sebanyak 23 projek berkaitan iklim dengan jumlah keperluan pelaburan kira-kira USD850 juta (RM3.47 bilion), di mana 15 projek telah menyertai ‘CFIL Accelerator Programme’. Salah satu projek berjaya memperoleh pembiayaan geran antarabangsa, manakala tiga projek telah dipilih untuk mempamerkan perkembangan masing- masing pada Sasana Symposium 2026.
Bagi memperkukuh lagi kesiapsiagaan projek serta meningkatkan kebolehbiayaan (“bankability”), BPMB telah melaksanakan ‘CFIL Accelerator Programme’ dengan kerjasama Centre for Entrepreneur Development and Research (“CEDAR”) dan United Nations Development Programme (“UNDP”). Melalui pembangunan kapasiti secara berstruktur, bimbingan pakar serta penglibatan pelabur, program ini telah meningkatkan tahap kesiapsiagaan komersial peserta di samping memperkukuh jaringan antara pemilik projek, institusi pembiayaan dan rakan strategik ekosistem.
Memperkukuh Kerjasama bagi Memacu Pembiayaan Mampan
Selain pembangunan projek, CFIL turut memperkukuh kerjasama dalam ekosistem pembiayaan mampan Malaysia dengan memudah cara penglibatan antara institusi kewangan, pelabur, agensi kerajaan dan rakan pembangunan, di samping mewujudkan laluan baharu bagi penyelesaian pembiayaan inovatif yang menyokong inisiatif berkaitan iklim dan alam semula jadi yang berimpak tinggi.
Berteraskan momentum kohort pertama, Kohort 2 CFIL memperkenalkan kriteria kelayakan yang dipertingkatkan, proses pemilihan yang lebih tersusun, serta kerjasama ekosistem yang lebih kukuh bagi meningkatkan kualiti projek dan kesiapsiagaan pelaburan. Hasil daripada proses penilaian yang menyeluruh, sebanyak 22 projek telah dipilih untuk menyertai program ini, merangkumi sebelas projek dalam bidang Peralihan Tenaga dan Inovasi Hijau, tujuh projek dalam Ekonomi Kitaran dan Bandar Mampan, dua projek dalam Pertanian Mampan, serta dua projek dalam Penyelesaian Berasaskan Alam Semula Jadi dan Biodiversiti, dengan jumlah keperluan pelaburan kira-kira USD423 juta (RM1.73 bilion).
Memacu Fasa Seterusnya Dalam Pembiayaan Iklim
Seiring dengan perkembangan platform ini, CFIL akan memperluas kerjasama dengan firma ekuiti persendirian, pelabur modal teroka, organisasi filantropi, institusi kewangan pembangunan serta penyedia geran antarabangsa bagi memperluas peluang pembiayaan kepada projek yang mengambil bahagian. Kohort 2 menyasarkan untuk memudah cara kejayaan pengumpulan dana bagi sekurang-kurangnya dua projek, sekali gus mengukuhkan peranan CFIL dalam mengubah penyelesaian iklim yang inovatif kepada peluang pelaburan yang bersedia untuk dibiayai.
‘CFIL Accelerator Programme’ edisi kedua akan dilaksanakan dengan kerjasama UN Global Compact Network Malaysia, Brunei & Cambodia (“UNGCMBC”) sebagai rakan strategik, bagi menyediakan pembangunan kapasiti secara berstruktur, bimbingan pakar serta penglibatan pelabur kepada para peserta menjelang Persidangan JC3 pada September 2026.
Melalui CFIL, BPMB terus memperkukuh ekosistem pembiayaan iklim Malaysia dengan memupuk kerjasama strategik, meningkatkan kebolehbiayaan projek serta menggerakkan lebih banyak modal awam dan swasta ke arah inisiatif yang menyokong peralihan iklim negara dan pembangunan mampan untuk jangka panjang.
– TAMAT –
Mengenai Bank Pembangunan Malaysia Berhad (“BPMB”)
Ditubuhkan pada 28 November 1973, BPMB merupakan sebuah institusi kewangan pembangunan yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan). Beroperasi di bawah pengawasan kawal selia Bank Negara Malaysia seperti yang termaktub oleh Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002, BPMB memegang penarafan kredit jangka panjang tertinggi ‘AAA’ daripada kedua-dua agensi penarafan iaitu RAM Rating Services Berhad dan Malaysia Rating Corporation Berhad.
Berkuat kuasa 1 Mei 2025, EXIM Bank dan SME Bank telah menjadi anak syarikat BPMB. Kumpulan BPMB kini bersedia untuk menyediakan pembiayaan bersifat pemangkin serta memperkasa pembangunan kapasiti perusahaan di Malaysia di samping memudah cara perluasan antarabangsa selaras dengan agenda pembangunan nasional.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.bpmb.com.my | www.smebank.com.my | www.exim.com.my
Mengenai Climate Finance Innovation Lab (“CFIL”)
Climate Finance Innovation Lab (CFIL) merupakan sebuah inisiatif di bawah Joint Committee on Climate Change (JC3). CFIL berfungsi sebagai platform kolaboratif untuk mencetus, membangunkan dan memacu pelaksanaan penyelesaian serta inisiatif pembiayaan iklim yang inovatif, bagi memobilisasikan pembiayaan daripada sektor awam dan swasta dalam menyokong peralihan Malaysia ke arah pelepasan sifar bersih (net zero), memperkukuh daya tahan terhadap perubahan iklim serta memajukan inisiatif yang memberi impak positif kepada alam semula jadi.