Siaran Akhbar

BPMB dan SPRM Perkasa Belia dengan Nilai Integriti dalam Kem AMAR Sarawak 2025

Lundu, Sarawak | 9 November 2025 — Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB), dengan kerjasama strategik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), telah menganjurkan Program Kem Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) Institusi Pendidikan Tinggi Zon Sarawak 2025 di Akademi Kenegaraan Malaysia, Lundu, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh budaya integriti dan nilai antirasuah dalam kalangan mahasiswa.

Program tiga hari yang berlangsung dari 7 hingga 9 November ini merupakan tahun kedua berturut-turut BPMB bekerjasama dengan SPRM bagi memperkasakan golongan mahasiswa tentang kepentingan integriti dan nilai antirasuah. Seramai 120 pelajar daripada institusi pengajian tinggi di seluruh Borneo telah menyertai program ini untuk mendalami pemahaman mengenai etika, semangat berpasukan dan kepimpinan berintegriti dalam memerangi rasuah.

“Integriti tidak dapat dibina dalam sehari — ia dipupuk melalui kesedaran, tindakan dan akauntabiliti. Menerusi Kem AMAR, BPMB berbangga dapat berdiri seiring dengan SPRM dalam membentuk generasi pemimpin masa hadapan yang akan menjunjung tinggi nilai-nilai ini,” kata Puan Rohayati Talha, Ketua Pegawai Pematuhan BPMB menzahirkan komitmen BPMB terhadap penglibatan belia dan kepimpinan beretika.

“Kem AMAR memainkan peranan penting dalam memperkasa belia sebagai penyampai utama nilai-nilai antirasuah. Kami amat mengalu-alukan kesinambungan kerjasama dan kepimpinan BPMB dalam memastikan kesedaran dan keberanian moral menjadi sebahagian penting dalam ekosistem pendidikan serta korporat di Malaysia,” ujar Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya, Encik Samsul bin Salip, Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM.

Dengan bertemakan “Memperkukuh Integriti Membentuk Mahasiswa Terbilang”, program ini menampilkan bengkel interaktif, cabaran berkumpulan dan sesi penyampaian sijil bagi mengiktiraf pencapaian pelajar dalam aspek integriti, kerja berpasukan dan kepimpinan. Tujuh kumpulan telah bersaing untuk anugerah utama, manakala anugerah individu turut disampaikan kepada peserta lelaki dan perempuan terbaik.

Penganjuran Kem AMAR di rantau Borneo buat julung kalinya ini meluaskan jangkauan BPMB dan SPRM kepada kumpulan pemimpin masa depan yang baharu, sekali gus memperkukuh mesej bahawa rasuah tidak mempunyai tempat dalam persekitaran pendidikan tinggi atau profesional di Malaysia. Kejayaan program ini mencerminkan komitmen berterusan BPMB dalam menyampaikan modal berimpak bagi pembangunan negara, dengan menggabungkan tadbir urus kewangan dan inisiatif berteraskan tujuan untuk memupuk kepimpinan beretika dalam kalangan belia.

#TAMAT#

Mengenai BPMB
Ditubuhkan pada 28 November 1973, Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) ialah sebuah institusi kewangan pembangunan yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan). Bank ini memegang penarafan tertinggi ‘AAA’ daripada RAM Rating Services Berhad dan Malaysia Rating Corporation Berhad, serta beroperasi di bawah penyeliaan peraturan Bank Negara Malaysia seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002.

Berkuat kuasa 1 Mei 2025, EXIM Bank dan SME Bank telah menjadi anak syarikat kepada BPMB. Kumpulan BPMB berada pada kedudukan kukuh untuk menyediakan pembiayaan pemangkin serta sokongan pembangunan kapasiti kepada perniagaan Malaysia, di samping memudah cara peluasan mereka ke peringkat antarabangsa sejajar dengan agenda pembangunan negara.

Untuk maklumat lanjut, layari www.bpmb.com.my.