Akan dibuka dalam tab baharu

Siaran Akhbar

Piala Pembangunan 2026 Bentuk Lebih 100 Pemimpin Muda Berpotensi Tinggi, Pacu Agenda Kemampanan Negara

Platform peringkat kebangsaan yang memasuki tahun keempat memartabatkan juara kebangsaan, di samping memperkukuh kemahiran komunikasi, pemikiran kritis dan kesedaran terhadap kemampanan.

Kuala Lumpur: 15 Oktober 2026 – Bank Pembangunan Malaysia Berhad (“BPMB”) baru-baru ini menobatkan Muhammad Imran Bin Shahnaz dari Asia Pacific Smart School, Selangor sebagai juara kebangsaan Pertandingan Pidato Piala Pembangunan 2026 (“Piala Pembangunan 2026”). Imran turut merangkul Anugerah Pemidato Terbaik berikutan persembahan cemerlang dalam pertandingan akhir yang sengit. Pencapaian ini menandakan kemuncak pencarian di seluruh negara bagi mengenal pasti dan membimbing generasi muda Malaysia yang berupaya memahami serta mengupas isu-isu yang membentuk masa depan negara. Imran muncul sebagai juara dalam kalangan 15 peserta akhir selepas melalui tiga peringkat pertandingan yang melibatkan lebih 300 sekolah di seluruh negara, dengan lebih 100 pelajar bersaing di peringkat saringan.

Pertandingan Piala Pembangunan 2026 dilaksanakan dengan sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia (“KPM”) melalui Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, dengan kerjasama Yayasan PINTAR.

Datuk Wira Dr. Mohammad Hardee Ibrahim, Ketua Pegawai Strategi Kumpulan BPMB, berkata, “Sebagai Institusi Kewangan Pembangunan, peranan Kumpulan BPMB dalam pembangunan negara bukan sahaja merangkumi pembiayaan dan pembangunan infrastruktur, malah turut melibatkan usaha membentuk generasi muda Malaysia yang mampu berfikir secara kritis, berkomunikasi dengan jelas dan menangani isu-isu kompleks secara bertanggungjawab.

Komitmen ini dicerminkan melalui perkembangan Piala Pembangunan, daripada pertandingan pidato yang melibatkan 12 sekolah pada tahun 2023 kepada platform kebangsaan yang menjangkau sekolah di kesemua 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan. Pengenalan pusingan separuh akhir pada tahun 2026 turut menguji keupayaan pelajar untuk berfikir secara spontan dan berucap dengan yakin, sekali gus membina kemahiran yang melangkaui bilik darjah serta menyokong pembangunan jangka panjang Malaysia.”

Dato’ Zainal Abas, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), berkata, “Piala Pembangunan 2026 menyokong aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia (“RPM”) 2026–2035, iaitu pelan strategik selama 10 tahun yang merangkumi tujuh teras dan kira-kira 50 inisiatif berimpak tinggi bagi memperkukuh sistem pendidikan Malaysia serta mempersiapkan pelajar untuk menghadapi masa depan. Melalui inisiatif ini, pelajar dapat mengembangkan kemahiran berfikir secara kritis, berkomunikasi dan menyampaikan idea dengan yakin, sekali gus menyumbang kepada pembentukan generasi muda Malaysia yang seimbang dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan. Inisiatif ini turut melengkapi keutamaan Reformasi Pendidikan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (“RMK13”) serta menyokong aspirasi lebih luas kerangka ekonomi MADANI.”

Meraikan Pemenang Piala Pembangunan
Senarai pemenang bagi tahun 2026 adalah seperti berikut:

PemenangSekolahNegeriKedudukanHadiah
Muhammad Imran Bin ShahnazAsia Pacific Smart SchoolSelangorTempat PertamaRM3,000.00 dan trofi
Nathan Chiew Chung FengLodge National Secondary SchoolSarawakTempat KeduaRM2,500.00 dan trofi
Kaavya Nangai PannirselvanSMK Convent Green LanePulau PinangTempat KetigaRM2,000.00 dan trofi
Muhammad Imran Bin ShahnazAsia Pacific Smart SchoolSelangorAnugerah Pemidato TerbaikRM1,500.00 dan trofi
12 hadiah saguhatiBaki 12 peserta akhirRM1,000.00 dan trofi bagi setiap peserta

Empat Tahun Perkembangan dan Jangkauan di Seluruh Negara
Piala Pembangunan diperkenalkan pada tahun 2023 sebagai Pertandingan Pidato BPMB–PINTAR dengan penyertaan 12 sekolah. Sejak itu, pertandingan ini berkembang menjadi program kebangsaan yang tersusun, dengan penyertaan meningkat kepada 35 sekolah pada tahun 2024 sebelum diperluas ke seluruh negara pada tahun 2025, menjangkau sekolah di kesemua 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan.

Sepanjang empat tahun pelaksanaannya, struktur program ini turut berkembang seiring dengan peluasan jangkauannya. Bermula sebagai pertandingan satu peringkat pada tahun 2023, pertandingan ini kemudiannya merangkumi peringkat saringan dan akhir pada tahun 2024 dan 2025, sebelum pusingan separuh akhir diperkenalkan buat julung kalinya pada tahun 2026. Perkembangan ini mencerminkan usaha berterusan Kumpulan BPMB untuk meningkatkan mutu, ketelitian dan nilai pembangunan pertandingan tersebut.

Memperkukuh Pertandingan Piala Pembangunan 2026
Edisi 2026 turut memperkenalkan pusingan separuh akhir bagi menguji dengan lebih mendalam keupayaan pelajar untuk berfikir dan berkomunikasi dalam situasi yang mencabar. Peringkat saringan menilai penyampaian pidato yang telah disediakan serta keupayaan peserta menjawab soalan juri, manakala pusingan separuh akhir memberikan tumpuan kepada pengucapan spontan dan respons terhadap soalan juri. Peringkat akhir kebangsaan pula menggabungkan penyampaian pidato yang telah disediakan, pidato spontan dan sesi soal jawab.

Semua topik pertandingan berteraskan isu-isu yang berkaitan dengan 17 Matlamat Pembangunan Mampan (“SDG”), bagi menggalakkan pelajar meneroka cabaran sosial, alam sekitar dan ekonomi, di samping memperkukuh keupayaan mereka untuk menyampaikan idea dengan jelas dan berfokus. Pendekatan ini selaras dengan usaha negara yang lebih luas untuk memajukan pembangunan mampan dan merealisasikan aspirasi Malaysia MADANI, di samping menggalakkan generasi muda Malaysia untuk mendalami isu-isu yang mempengaruhi masa depan negara secara bermakna.

Seiring dengan Piala Pembangunan melangkah ke fasa seterusnya, Kumpulan BPMB kekal komited untuk memajukan pendidikan, keterangkuman, kemampanan dan pembangunan belia sebagai sebahagian daripada sumbangan lebih luas Kumpulan kepada pembangunan negara.

# TAMAT #

Mengenai Bank Pembangunan Malaysia Berhad (“BPMB”)
Ditubuhkan pada 28 November 1973, BPMB merupakan sebuah institusi kewangan pembangunan yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan). Beroperasi di bawah pengawasan kawal selia Bank Negara Malaysia seperti yang termaktub oleh Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002, BPMB memegang penarafan kredit jangka panjang tertinggi ‘AAA’ daripada kedua-dua agensi penarafan iaitu RAM Rating Services Berhad dan Malaysia Rating Corporation Berhad.

Berkuat kuasa 1 Mei 2025, EXIM Bank dan SME Bank telah menjadi anak syarikat BPMB. Kumpulan BPMB kini bersedia untuk menyediakan pembiayaan bersifat pemangkin serta memperkasa pembangunan kapasiti perusahaan di Malaysia di samping memudah cara perluasan antarabangsa selaras dengan agenda pembangunan nasional.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.bpmb.com.my | www.smebank.com.my | www.exim.com.my