Kuala Lumpur: 12 Oktober 2026 – Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (“Kumpulan BPMB”) telah diberi mandat oleh Kerajaan untuk melaksanakan inisiatif strategik bernilai lebih RM7 bilion merentasi tujuh sektor keutamaan di bawah Belanjawan Negara 2027. Tujuh sektor keutamaan tersebut merangkumi pemerkasaan eksport, kelestarian, pengangkutan dan logistik, pembangunan usahawan, industri pertumbuhan yang bernilai tinggi, pelancongan serta infrastruktur.
Selaras dengan tema Belanjawan Negara 2027, “Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi”, inisiatif ini menyokong tumpuan pihak Kerajaan terhadap sektor utama yang memacu produktiviti, pelaburan, daya saing dan pertumbuhan ekonomi mampan. Penyepaduan SME Bank Malaysia Berhad (“SME Bank”) dan EXIM Bank Malaysia Berhad (“EXIM Bank”) memperkukuh lagi mandat Kumpulan BPMB sebagai institusi kewangan pembangunan bersepadu Malaysia, dengan menggabungkan kekuatan modal yang lebih kukuh serta keupayaan yang lebih menyeluruh untuk memperluas akses kepada pembiayaan pembangunan, mempercepat pelaburan strategik dan menghasilkan impak pembangunan yang boleh diukur, selaras dengan Rangka Kerja Pengukuran Prestasi Bank Negara Malaysia (“Performance Measurement Framework”).
Memperkukuh Daya Saing Eksport Malaysia
Di bawah sektor Pemerkasaan Eksport, sebanyak RM1 bilion diperuntukkan bagi membantu pengeksport Malaysia mengharungi ketidaktentuan pasaran global serta memperluas kehadiran mereka ke pasaran baharu dan pasaran bukan tradisional. Inisiatif pembiayaan merangkumi:
- Program Pemacuan dan Pertumbuhan Tempatan (RM500 juta): Menyediakan pembiayaan pada kadar berpatutan kepada pengilang, penyedia perkhidmatan dan vendor tempatan bagi meningkatkan kapasiti, produktiviti serta daya saing. Inisiatif ini menyokong pertumbuhan perniagaan domestik dan memperkukuh penyertaan mereka dalam rantaian nilai dan bekalan syarikat multinasional (“MNC”), syarikat korporat tempatan terkemuka serta sektor strategik yang dikenal pasti di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu (“NIMP”) 2030. Program ini turut menyasarkan integrasi yang lebih mendalam ke dalam rantaian nilai dan bekalan serantau serta global.
- Skim Eksport Lonjakan (RM500 juta): Menyokong dan memperkukuh keupayaan serta kemahiran usahawan dan pengeksport Malaysia untuk memasuki atau memperluas perniagaan di pasaran antarabangsa, termasuk pasaran baharu dan bukan tradisional. Inisiatif ini turut membantu pengeksport menangani persaingan yang semakin sengit serta peningkatan kos susulan ketidaktentuan global dan geopolitik semasa.
- Malaysia Global Connect (MGC) GoExport Cover (geran RM5 juta): Menyediakan perlindungan terhadap risiko perdagangan kepada bakal pengeksport dan pengeksport sedia ada yang memasuki pasaran baharu dan bukan tradisional. Langkah ini mengurangkan pendedahan mereka kepada risiko komersial, di samping memudah cara dan menggalakkan peluasan pasaran.
- Program Eksport Perniagaan (geran RM3 juta): Meningkatkan kesiapsiagaan eksport serta keupayaan akses pasaran perusahaan mikro, kecil dan sederhana (“PMKS”) Bumiputera dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan.
Memacu Pertumbuhan Mampan
Di bawah mandat Kelestarian bernilai RM2 bilion, Kumpulan BPMB akan memudah cara peralihan perniagaan Malaysia ke arah operasi rendah karbon dan lebih mampan, selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (“NETR”) serta keperluan kelestarian global yang terus berkembang. Inisiatif merangkumi:
- Dana Kelestarian Alam 2.0 (RM2 bilion): Menyediakan pembiayaan kepada syarikat Malaysia yang melaksanakan inisiatif rendah karbon dan beralih kepada operasi perniagaan yang lebih mampan.
- Fasiliti Peralihan Tenaga Negara (“NETF”) (RM50 juta): Menyokong projek peralihan tenaga berpotensi tinggi yang memerlukan bantuan bersasar untuk mencapai daya maju komersial.
Membina Ekosistem Pengangkutan dan Logistik yang Lebih Berdaya Tahan
Peruntukan khusus sebanyak RM1 bilion akan menyokong ekosistem pengangkutan dan logistik yang lebih berdaya tahan, meningkatkan kecekapan rantaian bekalan serta memperkukuh keupayaan aeroangkasa Malaysia di bawah Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia (“MAIB”) 2030. Inisiatif merangkumi:
- Program Pengangkutan & Logistik (RM800 juta): Menyediakan pembiayaan kepada syarikat dan projek dalam industri logistik dan pengangkutan, maritim serta minyak dan gas (“O&G”).
- Program Aeroangkasa (RM200 juta): Menyediakan pembiayaan kepada syarikat dalam ekosistem aeroangkasa, termasuk aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (“MRO”).
Memangkin Pertumbuhan Usahawan
Sebanyak RM858 juta diperuntukkan untuk memajukan pembangunan usahawan selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030, dengan tumpuan kepada usahawan Bumiputera, ekosistem industri halal, usahawan wanita dan belia, komuniti luar bandar, perusahaan sosial serta pemain industri francais. Inisiatif merangkumi:
- Program Pembangunan Ekonomi Bumiputera (RM600 juta): Memperluas akses kepada pembiayaan untuk usahawan Bumiputera, termasuk perniagaan dalam ekosistem industri halal.
- MySMELady 3.0 (RM100 juta): Memperluas akses pembiayaan kepada PMKS milik wanita bagi menyokong pertumbuhan perniagaan.
- Ekosistem Payung (RM150 juta): Menyokong pertumbuhan ekosistem francais dan pelesenan, termasuk pemberi francais, penerima francais, pemberi lesen dan pemegang lesen.
- Maju Usahawan Madani 3.0 (geran RM8 juta): Memperkukuh keupayaan usahawan daripada segmen yang kurang mendapat akses, termasuk perusahaan sosial, belia, wanita dan komuniti luar bandar.
Memacu Pembangunan Industri Pertumbuhan yang Bernilai Tinggi
Sebanyak RM750 juta diperuntukkan bagi mempercepat penerimagunaan teknologi dan inovasi untuk menyokong peralihan Malaysia ke arah ekonomi bernilai tambah lebih tinggi, selaras dengan NIMP 2030, Industry4WRD: Dasar Negara mengenai Industri 4.0 dan Strategi Semikonduktor Nasional. Inisiatif merangkumi:
- Dana Adaptasi Teknologi (RM500 juta): Menyediakan pembiayaan bagi penerimagunaan teknologi, pendigitalan dan inisiatif Industri 4.0, termasuk oleh kontraktor, pengilang dan pemasang komponen Sistem Binaan Berindustri (“IBS”).
- Program Pembiayaan Semikonduktor (RM250 juta): Menyediakan pembiayaan kepada syarikat semikonduktor yang berpotensi meningkatkan keupayaan dan memperkukuh ekosistem semikonduktor Malaysia di bawah Strategi Semikonduktor Nasional.
Meningkatkan Potensi Sektor Pelancongan Malaysia
Sebanyak RM700 juta lagi akan menyokong pertumbuhan berterusan ekosistem pelancongan Malaysia serta perniagaan berkaitan pelancongan. Inisiatif merangkumi:
- Tabung Khas Pelancongan (RM200 juta): Memperluas akses pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (“PKS”) yang beroperasi dalam sektor pelancongan dan sektor berkaitan pelancongan.
- Program Pelancongan (RM500 juta): Menyediakan pembiayaan kepada syarikat dalam sektor pelancongan dan sektor berkaitan bagi menyokong pertumbuhan sektor tersebut.
Membangunkan Infrastruktur yang Berdaya Tahan untuk Masa Hadapan
Bagi sektor infrastruktur, sebanyak RM700 juta akan menyokong projek berimpak tinggi dan kemudahan penting yang selaras dengan keperluan pembangunan ekonomi dan sosial Malaysia. Peruntukan ini akan disalurkan melalui:
- Program Infrastruktur MADANI (RM700 juta): Menyediakan pembiayaan kepada syarikat Malaysia yang terlibat dalam projek infrastruktur awam berskala besar, utiliti, infrastruktur sosial, keselamatan makanan serta aset negara dan projek berkaitan keselamatan.
Secara keseluruhan, inisiatif ini memperkukuh mandat Kumpulan BPMB dengan menterjemahkan keutamaan Belanjawan Negara 2027 kepada pembiayaan bersasar dan hasil pembangunan yang boleh diukur. Dengan peruntukan sekitar RM510 bilion, Belanjawan Negara 2027 memacu pertumbuhan, produktiviti, kemampanan dan reformasi ekonomi yang lebih kukuh di bawah kerangka ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (“RMK13”). Pada masa yang sama, inisiatif ini membolehkan Kumpulan BPMB menangani jurang pembiayaan, memajukan sektor strategik serta menyokong perniagaan Malaysia daripada fasa pertumbuhan domestik hingga ke peluasan pasaran antarabangsa.
Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif dan program pembangunan Kumpulan BPMB, sila layari http://www.bpmb.com.my.
# TAMAT #
Mengenai Bank Pembangunan Malaysia Berhad (“BPMB”)
Ditubuhkan pada 28 November 1973, BPMB merupakan sebuah institusi kewangan pembangunan yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan). Beroperasi di bawah pengawasan kawal selia Bank Negara Malaysia seperti yang termaktub oleh Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002, BPMB memegang penarafan kredit jangka panjang tertinggi ‘AAA’ daripada kedua-dua agensi penarafan iaitu RAM Rating Services Berhad dan Malaysia Rating Corporation Berhad.
Berkuat kuasa 1 Mei 2025, EXIM Bank dan SME Bank telah menjadi anak syarikat BPMB. Kumpulan BPMB kini bersedia untuk menyediakan pembiayaan bersifat pemangkin serta memperkasa pembangunan kapasiti perusahaan di Malaysia di samping memudah cara perluasan antarabangsa selaras dengan agenda pembangunan nasional.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.bpmb.com.my | www.smebank.com.my | www.exim.com.my