KUALA LUMPUR, 30 September 2025 – Bank Pembangunan Malaysia Berhad (“BPMB”), bersama anak syarikatnya, Export-Import Bank of Malaysia Berhad (“EXIM Bank”) dan SME Bank Malaysia Berhad (“SME Bank”), memperkukuh kerjasama kolektif dengan Amanah Lestari Alam (“ALAM”) untuk mempercepat agenda kelestarian Malaysia.
Komitmen kolektif Kumpulan BPMB ini menjadi sorotan utama di Climate Change Forum – Suara ALAM: Road to COP30 Belém 2025, yang telah dianjurkan pada 30 September 2025 oleh ALAM bersama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar (“NRES”) serta Malaysian Green Tech & Climate Change Corporation (“MGTC”), bertempat di Aloft Hotel Kuala Lumpur Sentral.
Disaksikan oleh YBhg. Datuk Nor Yahati Binti Awang, Timbalan Ketua Setiausaha (Kelestarian Alam Sekitar), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar (NRES), kerjasama ini berteraskan inisiatif sedia ada – merangkumi pembangunan kapasiti dan pembiayaan perdagangan hijau untuk perniagaan, sehinggalah kepada usaha penghijauan semula hutan, pemuliharaan marin, serta pelbagai inisiatif lain yang mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai negara megadiversiti yang diiktiraf di peringkat global.
Kumpulan BPMB memastikan setiap transaksi selaras dengan keutamaan negara dan matlamat kelestarian melalui pelaburan dalam projek yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, keadilan sosial serta pemeliharaan alam sekitar. Rangka Kerja Kelestarian dan Model Measuring Impact on National Development (“MIND”) yang diperkenalkan pada tahun 2024, dibangunkan bersama World Bank Group, menjadi asas panduan dengan mengintegrasikan pertimbangan ESG dalam tadbir urus, operasi dan proses membuat keputusan.
Seiring itu, SME Bank telah meluluskan lebih RM11 bilion pembiayaan lestari sejak 2022, menerbitkan Sukuk Kelestarian pertama Malaysia bernilai RM2 bilion, serta melatih lebih 1,500 Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana dalam piawaian ESG melalui Pusat Pembangunan dan Penyelidikan Usahawan (“CEDAR”). Pada masa yang sama, SME Bank juga sedang merangka Customer Transition Blueprint dan mengukur pelepasan ‘Skop 3’ bagi mengukuhkan sasaran pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
EXIM Bank pula telah memperkenal kemudahan pembiayaan hijau bernilai RM1.5 bilion bagi menggalakkan amalan lestari, di samping membantu perniagaan bersedia menghadapi keperluan global seperti Carbon Border Adjustment Mechanism (“CBAM”).
“Bagi Kumpulan BPMB, satu perkara jelas: membiayai masa depan bererti membiayai secara lestari. Setiap pelaburan – sama ada dalam infrastruktur, perdagangan atau PKS – mesti membawa Malaysia lebih hampir kepada ekonomi rendah karbon dan peralihan yang adil. Dengan kesedaran ini, kami berikrar untuk memacu peralihan hijau negara melalui pembiayaan lestari, pembangunan bakat dan peman hala tuju yang jelas ke arah sasaran sifar bersih menjelang 2050. Komitmen ini mencerminkan aspirasi jangka panjang kami untuk menukar modal kepada tindakan iklim dan pertumbuhan inklusif, dengan ALAM memainkan peranan penting menggerakkan usaha akar umbi serta menghubungkan penyelesaian berasaskan komuniti dengan sokongan institusi,” kata YBhg. Datuk Wira Dr. Mohammad Hardee Ibrahim, Ketua Pegawai Strategi Korporat SME Bank, yang mewakili Kumpulan BPMB.
Sejak 2020, BPMB telah menyalurkan lebih RM5 juta – dalam bentuk kewangan dan sokongan bukan kewangan – kepada ALAM, membolehkan yayasan tersebut menyalurkan lebih RM3 juta kepada projek komuniti dan penyelidikan. Daripada jumlah ini, RM390,000 diperuntukkan bagi menubuhkan Sinar ALAM, sebuah platform pendanaan awam untuk menyokong tindakan iklim di peringkat akar umbi. Antara rakan awal ialah MUFG Bank (Malaysia) Berhad yang menyokong program penghijauan semula ALAM Be-Leaf, manakala Reef Check Malaysia menjadi penerima pertama dana permulaan sebanyak RM100,000 daripada platform ini bagi memperluas usaha pemuliharaan marin.
“Sinar ALAM bukan sekadar idea – ia adalah sebuah platform yang menempatkan komuniti sebagai peneraju dengan sokongan rakan-rakan stratejik. Dengan memberikan pemilikan kepada masyarakat, setiap penyelesaian yang terhasil bukan sahaja lebih bermakna, malah berkekalan,” kata Datuk Ali Tan Sri Abdul Kadir, Pengerusi ALAM.
Ketika Malaysia menghampiri detik penting COP30 di Belém, Brazil, kerjasama antara Kumpulan BPMB dan ALAM membuktikan bahawa perubahan nyata sedang dilaksanakan. Dengan menyatukan tindakan akar umbi bersama sokongan institusi, inisiatif ini meletakkan komuniti sebagai nadi kepada penyelesaian iklim dan biodiversiti – sekali gus mengukuhkan kesediaan Malaysia untuk menyumbang secara bermakna kepada matlamat global.
Untuk maklumat lanjut mengenai ALAM, sila layari https://alam.earth.
TAMAT
Tentang Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB)
Ditubuhkan pada 28 November 1973, Bank Pembangunan Malaysia Berhad ialah sebuah institusi kewangan pembangunan yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan). Bank ini memegang penarafan tertinggi ‘AAA’ daripada RAM Rating Services Berhad dan Malaysia Rating Corporation Berhad, serta beroperasi di bawah pengawasan kawal selia Bank Negara Malaysia seperti yang diperuntukkan oleh Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002.
Dengan jumlah aset Kumpulan bernilai RM34.6 bilion setakat 31 Disember 2024, Bank Pembangunan berada pada kedudukan kukuh untuk memenuhi keperluan pembiayaan dan pembangunan perniagaan di Malaysia. Berkuat kuasa 1 Mei 2025, EXIM Bank dan SME Bank telah menjadi anak syarikat kepada Bank Pembangunan Malaysia Berhad.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.bpmb.com.my
Tentang Amanah Lestari Alam (ALAM)
Amanah Lestari Alam (ALAM) ialah sebuah Syarikat Berhad Menurut Jaminan (SBMJ) bebas, berstatus pengecualian cukai dan tidak berasaskan keuntungan, yang komited kepada pembangunan inklusif melalui program kelestarian dan ESG berasaskan komuniti, yang dicetuskan oleh Kementerian Kewangan. Walaupun mendapat sokongan penubuhan daripada Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB), ALAM beroperasi sebagai entiti berasingan secara sah di bawah Akta Syarikat 2016.
Misi ALAM adalah untuk mengubah minda dan tingkah laku rakyat Malaysia ke arah pemeliharaan alam sekitar dengan meningkatkan kesedaran, mendidik mengenai isu-isu kelestarian serta memupuk budaya kebertanggungjawaban terhadap alam sekitar. ALAM merealisasikan misi ini melalui kerjasama rapat bersama sektor awam dan swasta, masyarakat sivil dan penggubal dasar, berperanan sebagai jambatan penting antara industri dan kerajaan untuk menambah baik tadbir urus serta melaksanakan inisiatif kelestarian yang berimpak tinggi.
Dengan menyasarkan tiga segmen utama iaitu pelajar sekolah rendah, belia dan golongan dewasa, ALAM memberi tumpuan kepada pemupukan hubungan positif antara rakyat Malaysia, modal semula jadi negara dan generasi masa hadapan. Program-program ALAM sejajar dengan tujuh Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG): SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 11 (Bandar & Komuniti Lestari), SDG 12 (Penggunaan & Pengeluaran Bertanggungjawab), SDG 13 (Tindakan Iklim), SDG 14 (Hidupan di Bawah Air), SDG 15 (Hidupan di Darat), dan SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat).