Pendekatan CSR kami mencerminkan pedekatan yang proaktif, terancang dan berstruktur.
Dengan memberikan perhatian kepada dua teras utama; Pembangunan Komuniti dan Alam Sekitar, pelbagai inisiatif CSR kami selaras dengan 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Kami juga berusaha untuk memahami dan mengenal pasti cara memberi impak yang lebih bermakna dalam kehidupan pihak berkepentingan melalui penyelidikan yang mendalam, sebelum perkara-perkara kritikal dibincangkan bersama mereka. Maklum balas yang diterima dapat membantu kami untuk mengenal pasti program-program CSR yang penting.
Sehingga kini, kami berjaya menyempurnakan pelbagai inisiatif yang berimpak, antaranya:
- Pertandingan Pidato Piala Pembangunan 2025 – Sebuah pertandingan pidato peringkat kebangsaan bertemakan SDG untuk pelajar sekolah menengah dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Yayasan PINTAR untuk memupuk kepimpinan belia, kemahiran komunikasi, dan kesedaran tentang kelestarian.
- Program Jangkauan Komuniti – Sambutan perayaan sempena Tahun Baru Cina, Hari Raya, Deepavali, dan Krismas di rumah amal terpilih, menyantuni komuniti yang kurang berkemampuan.
- Program Little Legends – Sokongan penajaan untuk ‘Little Legends Programme’ anjuran Nicol David Organisation, memberdayakan kanak-kanak sekolah rendah melalui latihan skuasy yang teratur dan pendidikan bahasa Inggeris untuk menyokong pembangunan belia secara menyeluruh.
- Program Bantuan Makanan Golongan Miskin Bandar – Penyediaan makanan harian untuk komuniti miskin bandar melalui kerjasama strategik dengan PERTIWI, menyokong keterjaminan makanan dan keperluan asas mereka.
- Program Sentuhan Elit SPM – Inisiatif pemerkasaan akademik yang dilaksanakan bersama Yayasan LTAT, menyokong pelajar melalui persiapan terancang untuk peperiksaan SPM bagi meningkatkan pencapaian pendidikan.
- Program Pemerkasaan Literasi Kewangan Belia BPMB – Inisiatif literasi kewangan terancang yang merangkumi bengkel interaktif dan pertandingan, direka untuk menyediakan para pelajar dengan kemahiran asas pengurusan wang dan perancangan kewangan.
- Program Bantuan Kembali ke Sekolah – Pemberian kelengkapan sekolah kepada pelajar yang kurang berkemampuan, membantu meringankan beban kewangan dan menggalakkan akses pendidikan yang berterusan.
- Program Cooking for a Cause – Sebuah inisiatif keterjaminan makanan dan sokongan komuniti dilaksanakan bersama Food Aid Foundation, menyediakan hidangan berkhasiat kepada komuniti yang kurang berkemampuan di Kuala Lumpur, Selangor, dan Johor.
- Inisiatif Sokongan Pendidikan Orang Asli – Pemberian kelengkapan sekolah kepada kanak-kanak Orang Asli di Kampung Tan Hain, Royal Belum untuk membantu kanak-kanak Orang Asli mengikuti pendidikan dengan lebih baik.
- Bengkel Literasi Kewangan untuk Usahawan Wanita – Bengkel literasi kewangan dan pembangunan kapasiti perniagaan untuk usahawan wanita, dilaksanakan bersama Women of Will bagi mempromosikan pemerkasaan ekonomi inklusif.
Inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan membuktikan dedikasi berterusan kami untuk menambah baik kualiti hidup masyarakat berdasarkan dua teras utama iaitu Pembangunan Komuniti dan Alam Sekitar.
