Kota Bharu – Bank Pembangunan Malaysia Berhad (Bank Pembangunan) menyalurkan sumbangan lebih RM100,000 kepada lima masjid dan sebuah sekolah menengah di Kuala Krai yang terjejas dalam kejadian banjir Disember tahun lalu.
Pengerusinya Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah berkata, bantuan yang disalurkan di bawah program tanggungjawab sosial Korporat (CSR) BPMB itu adalah dalam bentuk barangan makanan dan keperluan asas untuk masjid dan komputer kepada sekolah terbabit.
Kita tidak ketinggalan dalam membantu keperluan kepada masjid dan sekolah yang terjejas banjir kerana kesan yang dihadapi itu cukup teruk dalam bencana alam yang melanda negeri ini Disember tahun lalu.
Kami memahami keperluan Pengurusan masjid dan sekolah terbabit dan bantuan disalurkan itu menerusi tanggungjawab CSR BPMB, katanya selepas melancarkan Masjid Angkat dan merasmikan Rumah Ngaji tajaan BPMB di Masjid Mukim Lundang dekat sini semalam.
Turut hadir, Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (YWUI) Datuk Dr Hussamuddin Yaacub, Setiausaha Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Mohd Azri Abdul Rahman dan Imam Tua Masjid Mukim Lundang Shamsuddin Abdul Rahman.