Return to Full Page

BPMB Sumbang Klinik Bergerak bagi Masyarakat Kurang Berkemampuan di Kedah
Friday, 23 Julai 2020
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
 

KUALA LUMPUR, 23 Julai 2020 – Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) hari ini menyerahkan sebuah Klinik Bergerak kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) yang bakal memanfaatkan masyarakat kurang berkemampuan serta golongan asnaf di negeri Kedah Darul Aman. Di bawah inisiatif perkongsian pintar dan usahasama dengan LZNK ini, BPMB telah membiayai kos pembelian kenderaan serta pengubahsuaiannya kepada Klinik Bergerak dengan nilai RM340,000 melalui zakat perniagaan yang dibayar kepada negeri Kedah.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Arshad Mohamed Ismail telah menyerahkan Klinik Bergerak tersebut kepada Ketua Pegawai Eksekutif LZNK Syeikh Zakaria Othman dalam satu majlis simbolik ringkas di Menara Bank Pembangunan, Kuala Lumpur. Turut hadir di majlis tersebut adalah Pengerusi Jawatankuasa Syariah, Professor Madya Dr. Aznan Hasan serta pengurusan kanan BPMB dan LZNK.

Sumbangan Klinik Bergerak ini bertujuan menyediakan kemudahan rawatan kesihatan berkualiti secara percuma untuk golongan sasar yang terdiri daripada golongan yang kurang berkemampuan di Kedah terutamanya di kawasan luar bandar. Operasi Klinik Bergerak ini dirancang untuk dikendalikan oleh kakitangan perubatan di kawasan yang dikenal pasti di Kedah mengikut jadual yang akan disusun oleh LZNK.

“Kami amat berbesar hati kerana terlibat dalam inisiatif Klinik Bergerak ini yang julung-julung kali diperkenalkan di Kedah. Namun apa yang lebih utama, , melalui jalinan kerjasama sedemikain, BPMB berharap untuk memberi impak bagi jangkamasa panjang bagi masyarakat kurang berkemampuan di kawasan luar bandar dalam menyediakan kemudahan penjagaan dan rawatan kesihatan yang berkualiti kepada mereka,” kata Arshad.

Sebagai institusi kewangan pembangunan yang prihatin di Malaysia, BPMB akan terus memainkan peranan kewangan sosialnya serta mengadakan perkongsian pintar dengan organisasi yang relevan dalam membantu golongan sasar masyarakat yang kurang berkemampuan.

TAMAT

Mengenai Bank Pembangunan

Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) telah ditubuhkan pada 28 November 1973 dan memulakan operasi pada 8 Jun 1974 bagi membantu Kerajaan di dalam agenda untuk membina negara melalui usaha sosio-ekonomi. BPMB memainkan peranan untuk membangun ekonomi Malaysia dengan membantu usahawan, terutamanya usahawan Bumiputera yang terlibat dalam industri kecil dan sederhana melalui peruntukan pelbagai perkhidmatan kewangan, latihan serta khidmat nasihat.

Kini, BPMB diberi mandat untuk menyediakan pembiayaan jangka sederhana hingga jangka panjang kepada sektor ekonomi yang strategik. Melalui anak syarikat milik penuhnya, Pembangunan Leasing Corporation Sdn. Bhd. (PLC), BPMB juga memberikan pembiayaan kepada perniagaan kecil dan sederhana termasuk yang terlibat dalam pembuatan, pembinaan, pembekalan, pengangkutan, pertanian, perhotelan dan teknologi maklumat.

Dimiliki oleh Menteri Kewangan Diperbadankan, BPMB telah diberi peringkat ‘AAA’ tertinggi oleh RAM Rating Services Berhad (RAM) dan Malaysia Rating Corporation Berhad (MARC). Ia dikawal selia dan diawasi oleh Bank Negara Malaysia di bawah Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002.

Dengan nilai aset gabungan RM24.7 bilion (pada 31 Disember 2018), Kumpulan BPMB berada dalam posisi yang baik untuk memenuhi keperluan pembiayaan dan pengembangan perniagaan perniagaan Malaysia di dalam sektor-sektor utama.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi: Anita Ramly
Ketua, Komunikasi Korporat
Bank Pembangunan Malaysia Berhad
Tel (03) 2611 3346

HP (019) 332 4809
Emel: anita.ramly@bpmb.com.my



« Back