Return to Full Page

Bank Pembangunan Malaysia Berhad Sumbang RM1 Juta kepada Tabung Covid-10 Musaadah Khaira PPZ
Friday, 15 Mei 2020
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
 

KUALA LUMPUR, 15 Mei 2020 – Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) telah menghadiri Majlis Serahan Zakat Korporat & Serahan Sumbangan Untuk Tabung Musaadah Khaira PPZ bagi menyerahkan bayaran zakat perniagaannya bagi tahun kewangan berakhir 2019 kepada Pusat Pungutan Zakat-MAIWP (PPZ-MAIWP), yang berlangsung pada hari ini di Kompleks Islam Putrajaya. BPMB telah diwakili oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Arshad Mohamed Ismail.

BPMB telah menyerahkan replika cek sebanyak Ringgit Malaysia Lapan Ratus Tiga Puluh Empat Ribu (RM834,000.00) bagi bayaran zakat perniagaan. Pada majlis yang sama, BPMB turut menyerahkan sumbangan sebanyak Ringgit Malaysia Satu Juta (RM1,000,000.00) untuk Tabung Musaadah Khaira COVID-19 PPZ.

BPMB merupakan pembayar zakat perniagaan kepada PPZ-MAIWP pada setiap tahun bagi menyantuni asnaf-asnaf yang layak di Wilayah Persekutuan. Pengagihan kepada mereka yang layak dilaksanakan oleh pihak Baitulmal-MAIWP. “Sebagai institusi kewangan pembangunan yang prihatin dengan kesan wabak Covid-19 kepada mereka yang terjejas terutamanya golongan asnaf dan yang hilang sumber pendapatan, pada tahun ini BPMB turut sama ingin membantu mereka dengan membuat sumbangan tambahan kepada Tabung Musaadah Khaira PPZ sebanyak Ringgit Malaysia 1 juta,” tambah Arshad.

Hadir untuk menerima cek-cek tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Tuan Haji Ahmad Shukri Yusoff dengan disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Haji Che Mat Che Ali.

TAMAT

Mengenai Bank Pembangunan

Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) telah ditubuhkan pada 28 November 1973 dan memulakan operasi pada 8 Jun 1974 bagi membantu Kerajaan di dalam agenda untuk membina negara melalui usaha sosio-ekonomi. BPMB memainkan peranan untuk membangun ekonomi Malaysia dengan membantu usahawan, terutamanya usahawan Bumiputera yang terlibat dalam industri kecil dan sederhana melalui peruntukan pelbagai perkhidmatan kewangan, latihan serta khidmat nasihat.

Kini, BPMB diberi mandat untuk menyediakan pembiayaan jangka sederhana hingga jangka panjang kepada sektor ekonomi yang strategik. Melalui anak syarikat milik penuhnya, Pembangunan Leasing Corporation Sdn. Bhd. (PLC), BPMB juga memberikan pembiayaan kepada perniagaan kecil dan sederhana termasuk yang terlibat dalam pembuatan, pembinaan, pembekalan, pengangkutan, pertanian, perhotelan dan teknologi maklumat.

Dimiliki oleh Menteri Kewangan Diperbadankan, BPMB telah diberi peringkat ‘AAA’ tertinggi oleh RAM Rating Services Berhad (RAM) dan Malaysia Rating Corporation Berhad (MARC). Ia dikawal selia dan diawasi oleh Bank Negara Malaysia di bawah Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002.

Dengan nilai aset gabungan RM24.7 bilion (pada 31 Disember 2018), Kumpulan BPMB berada dalam posisi yang baik untuk memenuhi keperluan pembiayaan dan pengembangan perniagaan perniagaan Malaysia di dalam sektor-sektor utama.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi: Anita Ramly
Ketua, Komunikasi Korporat
Bank Pembangunan Malaysia Berhad
Tel (03) 2611 3346

HP (019) 332 4809
Emel: anita.ramly@bpmb.com.my



« Back