Return to Full Page

BANK PEMBANGUNAN RAIH ANUGERAH NATIONAL ENERGY AWARDS 2022 BAGI PEMBIAYAAN TENAGA LESTARI

 

KUALA LUMPUR, 14 Mac 2023:

 

Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) meraih anugerah khas Special Merit Award for Sustainable Energy Financing for DFI and Others di majlis National Energy Awards (NEA) 2022,baru-baru ini yang dianjurkan oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (KeTSA).

 

KeTSA memberi anugerah ini bagi menghargai usaha BPMB sebagai salah satu institusi kewangan pembangunan tersohor di Malaysia dalam mempelopori pembiayaan tenaga lestari. BPMB memacu pembiayaan projek-projek lestari menerusi rangka kerja penilaian impak milik bank tersebut, yang dipanggil Measuring Impact on National Development (MIND). BPMB diwakili oleh Encik Hussien Mullar, Ketua Bahagian MIND & Kelestarian, yang menerima trofi daripada Menteri KeTSA, YB Nik Nazmi Nik Ahmad.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Roni Abdulwahab berkata, “Kami amat berbesar hati menerima anugerah yang berprestij ini. Sebagai sebuah institusi kewangan pembangunan atau DFI, fokus kami adalah untuk menyalurkan dana modal berimpak bagi menyokong pembangunan strategik dan lestari negara. Dengan menggunapakai rangka kerja penilaian impak kami, MIND Framework, di dalam proses menilai semua projek untuk dibiayai, kami dapat mengenalpasti projek-projek yang boleh memberikan kesan positif kepada negara secara holistik, sama ada dari segi keuntungan kewangan maupun sosial dan alam sekitar.”

 

MIND Framework dibangunkan bersama Bank Dunia berdasarkan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) terpilih Bangsa-bangsa Bersatu (UN), sebagai satu rangka kerja holistik yang mengukur impak aktiviti projek pembangunan bagi melengkapi proses penilaian kredit BPMB yang sedia ada.

 

 

Menerusi MIND Framework, BPMB membolehkan pelbagai projek lestari yang memberikan impak positif yang strategik kepada negara, di dalam sektor tenaga hijau, tenaga dan produk dari bahan buangan, pengangkutan lestari serta industri hijau lain, menerusi produk-produk pembiayaan dan skim-skim berdedikasi.

 

 

 

NEA pula adalah satu usaha KeTSA bagi memberi penghormatan kepada organisasi-organisasi swasta Malaysia yang menerima pakai konsep dan cara kerja tenaga lestari di dalam apa juga industri dan sektor.

 

 

Mengenai Bank Pembangunan

 

Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) telah ditubuhkan pada 28 November 1973 sebagai sebuah institusi kewangan pembangunan. Kini, BPMB memfokus kepada menyediakan pembiayaan strategik kepada pembangunan ekonomi negara. Dimiliki oleh Kementerian Kewangan (Diperbadankan), BPMB telah diberi peringkat ‘AAA’ tertinggi oleh RAM Rating Services Berhad (RAM) dan Malaysia Rating Corporation Berhad (MARC). Ia dikawal selia dan diawasi oleh Bank Negara Malaysia di bawah Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002.

 

 

 

Dengan nilai aset gabungan RM26.1 bilion (pada 31 Disember 2021), Kumpulan BPMB berada dalam posisi yang baik untuk memenuhi keperluan pembiayaan dan pengembangan perniagaan perniagaan di Malaysia.

 



« Back