Return to Full Page

Astro Awani - Perumahan bermasalah beri kesan tidak langsung kepada 125,000 isi rumah - Akmal Nasrullah

 

Kuala Lumpur, 21 Mac 2023

 

Sebanyak 125,000 isi rumah terkesan secara tidak langsung disebabkan projek perumahan yang lewat siap, sakit dan terbengkalai di seluruh negara, kata Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

 

Beliau berkata, melalui jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk meneliti isu-isu tersebut, pihak kementerian (KPKT) kini sedang giat berusaha membantu untuk menyelesaikan masalah pembeli dan pemaju perumahan dengan memberi tumpuan yang lebih berstruktur. Pendekatan yang diambil adalah melalui 'tracking the data (pengesanan data), resolve (membuat keputusan), preventive (pencegahan) dan forward modelling selection (pemilihan model untuk dibawa ke hadapan)', bagi memastikan ia tidak akan berulang lagi pada masa depan.

 

"Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh saya sendiri yang mana kita mahu data-data (bermasalah) yang diterima setiap bulan akan sentiasa dinamik, bergerak dan mempunyai kemajuan. Sebagai contoh di peringkat pemaju jika isunya berkenaan kelewatan kelulusan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), kita akan bantu untuk meleraikan atau mempercepatkan proses dan maklum balas tersebut.

 

"Ini supaya projek-projek berkenaan tidak akan menjadi lebih teruk, yang akan menyebabkan kerajaan terpaksa campur tangan yang mana kita seboleh-bolehnya mahu elakkan.

 

Ini kerana tanggungjawab projek-projek berkenaan adalah ditangan pemaju, dan kerajaan bertindak sebagai pemantau," katanya kepada media selepas menyampaikan ucaptama di Persidangan Perumahan Wilayah Institut Rehda 2023 di sini, hari ini.

 

Setakat 31 Jan, 2023, lebih 1,000 projek perumahan berdepan masalah iaitu merangkumi 166 projek yang lewat siap, 437 projek sakit dan 115 projek terbengkalai.

 

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata kerajaan buat masa ini belum mempunyai perancangan untuk melancarkan produk baharu dalam sektor hartanah yang bersifat 'Menu Rahmah' selain Rumah Belia Madani (RBM) yang ditawarkan kepada golongan belia secara transit dan sewaan yang dilancarkan bulan lepas.

 

Ini kerana pembangunan sesuatu inisiatif perumahan perlu mengambil masa yang agak lama untuk diteliti dan direalisasikan.

 

"There is no 'quick menu' (tidak ada menu segera) yang boleh kita tawarkan dan kita tidak boleh mengeluarkan sesuatu cadangan secara mengejut kerana industri ini meluas dan melibatkan ratusan pihak berkepentingan di sepanjang rantaian industri.

 

"Bagaimanapun, melalui Belanjawan 2023 yang dibentangkan baharu-baharu ini oleh Perdana Menteri, kerajaan bersetuju untuk membina 13 projek perumahan rakyat (PPR), yang mana satu projek akan dibina di setiap negeri dalam jangka masa tiga ke empat tahun, berbanding kelaziman tahun-tahun kebelakangan ini yang hanya membina tiga atau empat projek sahaja," jelas beliau.

 

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) Datuk Jeffrey Ng Tiong Lip menggesa pihak berkuasa melakukan transformasi radikal dan perubahan dalam membangunkan perumahan sosial.

 

Sebagai contoh, ia meminta kerajaan memperkenalkan rangka kerja seragam mengenai sumbangan kewangan daripada pemaju hartanah sebagai ganti pengenaan kuota mandatori dan harga terkawal, kerana pada masa ini, ia sedang diamalkan menggunakan model yang berbeza di negeri yang berbeza.

 

"Sekiranya model sebegini dapat diperkemas secara seragam, ini akan membolehkan KPKT dengan bantuan Rehda menubuhkan dana berpusat (yang dibiayai oleh pemaju) untuk melancarkan dan menyampaikan projek perumahan sosial dengan skala ekonomi oleh sektor awam, yang membolehkan kos pembinaan lebih rendah jika teknologi moden dilaksanakan," kata Ng.

 

Beliau menambah pelaksanaan rangka kerja seragam mengenai sumbangan kewangan sebagai ganti untuk perumahan sosial, akan memberikan lebih ketelusan dan konsistensi dalam pengurusan kos, membawa kepada proses perumahan yang lebih terurus di seluruh negara.

 

Selain itu, Institut Rehda juga menggesa kerajaan menangani isu subsidi silang harga rumah kerana apabila kuota rumah mampu milik diberikan pada harga tetap, peratusan projek lain yang tidak berada di bawah kuota itu akan diselaraskan pada harga yang lebih tinggi. Keadaan itu katanya adalah tidak adil untuk mengimbangi kerugian yang dialami pemaju bagi unit-unit rumah mampu milik.

 

"Ini adalah di antara masalah asas yang kami hadapi dan kami meminta kerajaan mengadakan sistem yang lebih progresif dan mampan untuk sektor hartanah," katanya. Pada majlis itu, Institut Rehda turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Bank Pembangunan Malaysian Bhd (BPMB) bagi membolehkan kedua-dua pihak menjalankan kerjasama penyelidikan merangkumi hartanah dan pembangunan hartanah, dasar perumahan, perbankan dan kewangan, alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan pembangunan bandar pintar.

 

"Kami akan menggunakan kemahiran dan keupayaan kami untuk mencari penyelesaian baharu yang mungkin, melihat dari sudut industri perbankan kerana kami mempunyai kaitan.

 

"Kami berharap boleh mengambil langkah seterusnya untuk mengemukakan cadangan, yang akhirnya mengesyorkan kepada kerajaan untuk diterima pakai jika boleh, dan melibatkan diri dengan kami jika mereka (kerajaan) ingin membuat sebarang perubahan bagi menjadikannya (sebarang cadangan) berfungsi ," tambah beliau.

 

- BERNAMA



« Back