Return to Full Page

DAGANG NEWS - BPMB, PPZ-MAIWP agih bantuan RM35,000 kepada anak asnaf
Wednesday, 3 March 2021
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
 

Kuala Lumpur: Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) bersama Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mengagihkan bantuan berjumlah RM35,000 kepada 100 anak-anak asnaf di PPR Desa Tun Razak, Kuala Lumpur.

Agihan bantuan tersebut dibuat melalui projek Back to School Khaira PPZ-BPMB dan Khaira Didik PPZ-BPMB. Presiden dan Ketua Eksekutif BPMB, Arshad Mohamed Ismail berkata, kedua-dua sumbangan tersebut adalah sebahagian daripada program kerjasama pintar antara BPMB dan PPZ-MAIWP.

Kami berasa sangat gembira kerana sekali lagi dapat menjalinkan kerjasama pintar bersama PPZ-MAIWP dalam meneruskan usaha sama demi mengurangkan beban golongan asnaf yang telah terkesan berikutan penularan COVID-19 dalam negara ini.

Pada masa yang sama, ia bertujuan untuk memupuk semangat kanak-kanak untuk belajar memandangkan mereka bakal kembali ke sekolah tidak lama lagi.

Sebagai salah satu institusi kewangan yang mengamalkan perbankan Islam di Malaysia, kami di BPMB kekal komited untuk sentiasa menjalankan tanggungjawab sosial kami untuk sedikit sebanyak membantu mambaik pulih kehidupan masyarakat sekitar, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menerusi bantuan tersebut, BPMB bertanggungjawab sebagai penyumbang dana, sementara PPZ-MAIWP pula berperanan mengenal pasti individu yang layak untuk menerima bantuan.

Projek Back to School Khaira PPZ-BPMB melibatkan sumbangan baucer pembelian barangan persekolahan sebanyak RM250 bagi setiap penerima.

Khaira Didik PPZ-BPMB pula merupakan sumbangan dalam bentuk pembukaan akaun SSPN-i dengan nilai sebanyak RM100 seorang, sekali gus menjadi sumbangan yang diterima berjumlah RM350 untuk setiap pelajar.

Turut hadir dalam acara penyerahan tersebut ialah Ketua Perbankan Perniagaan Kumpulan II BPMB, Hildah Mohd Hamzah, Ketua Pegawai Kewangan PPZ-MAIWP, Azhan Ismail serta wakil Pertubuhan Sinar Bakti Bandar Tun Razak.

Tambah beliau, BPMB bersama PPZ-MAIWP sebelum ini menyampaikan sumbangan berbentuk bantuan makanan asas (Kering dan basah) kepada komuniti Perumahan Awam Seri Perak, Bandar Baru Sentul & PPR Gombak Setia di bawah program ‘Projek Bakul Rezeki Khaira PPZ-BPMB, dan juga kepada komuniti Perumahan Awam Sungai Bonus & Perumahan Kos Rendah Wangsa Maju di bawah program ‘Projek Lori Rezeki Khaira PPZ-BPMB’.

Sumbangan tersebut merupakan salah satu daripada siri sumbangan bantuan makanan asas yang keseluruhannya berjumlah RM100,000 kepada 1,400 keluarga asnaf.



« Back