Return to Full Page

Bank Pembangunan, KMP, MTDC jalin kerjasama galak penggunaan teknologi
Thursday, 17 Dec 2020
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

 

Kuala Lumpur: Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) telah mengumumkan kerjasama strategik dengan Kumpulan Modal Perdana (KMP) dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi dengan menggalakkan penggunaan teknologi serta automasi bagi menyelesaikan jurang sektor. KMP dan MTDC adalah agensi pembiayaan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

BPMB dalam satu kenyataan berkata, kerjasama itu akan menampilkan sokongan pembiayaan daripada bank berkenaan serta Skim Transformasi Pendigitalan Industri (IDTS) untuk memacu inisiatif pendigital.

Sokongan teknikal daripada agensi-agensi pembiayaan MOSTI akan digunakan untuk memajukan inisiatif Industri 4.0 kerajaan bagi meningkatkan sumbangan sektor yang terbabit dalam teknologi berimpak tinggi kepada ekonomi negara.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Arshad Mohamed Ismail, berkata kerjasama itu juga diharap dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan melalui pemboleh digital dalam menyokong keperluan pendigitalan termasuk automasi perniagaan yang berkembang.

Di bawah kerjasama BPMB dengan KMP, kedua-dua pihak akan berusaha untuk memudahkan pelaksanaan IDTS bertujuan bagi mencapai perniagaan kecil dan sederhana yang terkait dengan bidang teknologi yang layak dan memerlukan bantuan pembiayaan untuk berkembang ke arah menguasai teknologi yang berimpak tinggi.

Sementara itu, bagi kerjasama dengan MTDC, kedua-dua pihak akan memanfaatkan teknologi digital dan platform pembiayaan kumpulan setara untuk mendekati perniagaan mikro dan bersaiz kecil.

Di samping itu, MTDC akan memberikan nasihat teknikal termasuk penilaian pembiayaan yang berkaitan dengan teknologi dan melabur bersama dalam pelaburan yang tertentu.



« Back