Return to Full Page

BPMB sumbang RM2 juta kepada lapan universiti awam
Monday, 14 Dec 2020
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

 

KUALA LUMPUR, 14 Dis -- Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) memberi bantuan pendidikan berjumlah RM2 juta kepada lapan buah universiti awam dalam usaha menaik taraf mutu kehidupan mahasiswa yang memerlukan.

Lapan universiti tersebut ialah Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

"Setiap universiti menerima sumbangan pendidikan sebanyak RM250,000 untuk diagihkan kepada para mahasiswa asnaf yang memerlukan terutamanya daripada kalangan keluarga kelompok B40," menurut kenyataan BPMB hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Arshad Mohamed Ismail, berkata sumbangan itu bertujuan memastikan mahasiswa yang memerlukan kekal fokus dalam pembelajaran dan secara tidak langsung meringankan beban keluarga mahasiswa yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Majlis penyerahan sumbangan yang diadakan secara maya itu telah disempurnakan oleh Arshad Mohamed kepada pegawai dan pentadbir kanan universiti terbabit.

Menurut kenyataan itu, secara keseluruhan, termasuk sumbangan tahun ini, BPMB telah menyalurkan dana sebanyak RM7.25 juta kepada universiti awam tempatan untuk tujuan tersebut.



« Back