Return to Full Page

Bank Pembangunan sumbang RM2 juta
Saturday, 12 Dec 2020
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

 

KUALA LUMPUR: Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) telah menyumbang bantuan pendidikan berjumlah RM2 juta kepada lapan universiti awam. Sumbangan tersebut untuk menaik taraf mutu kehidupan mahasiswa-mahasiswa yang memerlukan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Arshad Mohamed Ismail berkata, sumbangan pendidikan tahun ini adalah sumbangan tahunan yang diberikan untuk kali ketiga semenjak 2018 di mana sebanyak 9 buah universiti awam telah menerima sumbangan ini pada tahun-tahun sebelumnya.

“Pendidikan adalah sangat penting untuk mengubah dan meningkatkan taraf hidup keluarga mahasiswa. Jadi, pihak BPMB kekal komited untuk terus menjalankan tanggungjawab sosial korporat kami dalam usaha membantu mereka yang memerlukan.

“Sumbangan pendidikan ini bertujuan memastikan para mahasiswa yang memerlukan kekal fokus dalam pembelajaran dan secara tidak langsung meringankan beban keluarga yang terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan.

Lapan universiti terlibat ialah Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Setiap universiti menerima sumbangan pendidikan seba¬nyak RM250,000 untuk diagihkan kepada para mahasiswa asnaf yang memerlukan terutama daripada keluarga B40.

Majlis Penyerahan Sumba¬ngan yang diadakan secara maya itu telah disempurnakan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Arshad Mohamed Ismail kepada pegawai dan pentadbir kanan universiti terbabit.

Secara keseluruhan, termasuk sumbangan pada tahun ini, BPMB telah menyalurkan dana sebanyak RM7.25 juta kepada universiti-universiti awam tem¬patan dalam usaha memperbaiki mutu hidup dan membantu proses pembelajaran mahasiswa yang memerlukan.



« Back