Return to Full Page

Bank Pembangunan sumbang 10,000 set PPE kepada barisan hadapan Sabah
Friday, 13 Nov 2020
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

 

Kuala Lumpur: Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) sekali lagi bekerjasama dengan Yayasan Ikhlas untuk menghasilkan dan menyumbangkan sebanyak 10,000 set Pelindung Diri (PPE) kepada petugas kesihatan barisan hadapan di Sabah.  Sumbangan itu adalah untuk digunakan oleh dua buah hospital terpilih di Semporna dan Tawau, Sabah.

Persiden dan Ketua Pegawai Eksekutif BPMB, Arshad Mohamed Ismail berkata, sumbangan itu merupakan komitmen BPMB untuk membantu mengurangkan beban barisan hadapan di hospital-hospital di Sabah yang bertungkus lumus bekerja demi menjaga keselamatan seluruh rakyat Malaysia.  Seperti yang kita sedia maklum, negeri Sabah merupakan negeri yang merekodkan jumlah tertinggi kes-kes positif COVID-19 sejak kebelakangan ini.  Oleh yang demikian, BPMB berasa terpanggil untuk sekali lagi turut serta memberikan sumbangan set PPE dalam usaha kita bersama untuk menangani gelombang ketiga COVID-19 ini.

Pihak BPMB berharap agar sumbangan ini dapat menzahirkan semangat kebersamaan antara kita semua untuk membantu pihak kerajaan dalam usaha untuk memerangi pandemik COVID-19 dan sekali gus memberikan impak positif ke atas usaha pencegahan, pengesanan dan rawatan kesihatan kepada masyarakat Malaysia secara amnya, khususnya di Sabah, katanya dalam satu kenyataan.

Majlis penyerahan sumbangan di kilang PPE Petaling Jaya itu dihadiri oleh Ketua Pegawai Kewangan BPMB, Zulkeefli Mad Karim dan Ketua Pengurusan Shariah Kumpulan BPMB, Mohamad Salihin Deris.  Turut hadir bersama ialah Pengerusi Yayasan Ikhlas, Datuk Mohd Rosli Ramli dan Pengurus Besar Yayasan Ikhlas, Ir. Kamaruddin Kassim.

Sumbangan PPE berkenaan merupakan kerjasama kali kedua bersama Yayasan Ikhlas dengan sebanyak 17,500 set PPE telah Berjaya dihantar ke Sabah dan Sarawak pada bulan Julai dan September 2020 melalui kerjasama kali yang pertama.  Secara keseluruhannya kerjasama BPMB dan Yayasan Ikhlas hingga kini telah menyumbang sebanyak 27,500 set PPE ke Sabah dan Sarawak dengan kos keseluruhan sebanyak RM1,064,700.

Dalam kerjasama pintar itu, BPMB berperanan sebagai penyumbang dana dan Yayasan Ikhlas pula berperanan sebagai pengurus projek untuk menghasilkan sendiri set PPE bermula daripada proses pencarian bahan mentah, proses menjahit oleh sukarelawan dan golongan asnaf dan seterusnya menghantar set PPE yang telah siap kepada penerima yang disasarkan.

Proses penghasilan sendiri semua set PPE itu telah mendapat kelulusan dan dipantau oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memenuhi piawaian yang ditetapkan dan selamat digunakan oleh petugas kesihatan.



« Back