Return to Full Page

BPMB, bank China meterai kerjasama strategik
Sunday, 13 Sept 2020
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
 

Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) baru-baru ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) membabitkan kerjasama strategik dengan China Construction Bank (Malaysia) Bhd (CCBM) dan China Construction Bank Corporation Labuan Branch (CCBL).

Kerjasama strategik ini adalah satu daripada teras di bawah pelan strategik BPMB selama tiga tahun untuk 2020-2022 dan dijangka akan memudahkan kerjasama dalam projek kewangan yang strategik di Malaysia.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Arshad Mohamed Ismail berkata MoU itu juga akan menyediakan plantform kepada bank itu bagi mencapai peringkat serantau dan membuka jalan untuk sindikasi, perkongsian pengetahuan serta bantuan teknikal.

Di samping itu, ia akan membolehkan perkongsian pengetahuan di kalangan semua pihak, terutama dalam Projek Penilaian dan Rangka Kerja Penilaian Impak BPMB serta Strategi Hijau CCBL, katanya dalam satu kenyataan.

Majlis pemeteraian MoU itu disaksikan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.  Turut hadir ialah Pengerusi BPMB Datuk Zaiton Mohd Hassan serta Pegawai Utama CCBL, Felix Feng Qi.

Menurut BPMB, lawatan Tengku Zafrul ke BPMB adalah sebahagian daripada usaha pembabitan Bajet 2021 Kementerian Kewangan dengan pemegang-pemegang kepentingan dalam pelbagai sector ekonomi.

BPMB telah menganjurkan Kumpulan Dialog Fokus Bajet dengan institusi kewangan pembangunan untuk membincangkan cabaran, isu dan hala tuju bagi memastikan pembangunan yang berterusan di Malaysia dalam persekitaran yang mencabar berikutan pandemik semasa.



« Back