Return to Full Page

Ramly Burger Tambah Pelaburan RM500j
Selasa, 21 Januari 2020
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
 

Kumpulan Ramly (Ramly) atau popular dengan nama Ramly Burger iaitu pengusaha perniagaan daging sejuk beku dan burger popular negara, menyasar peningkatan pendapatan sebanyak 20 peratus kepada RM1.2 bilion pada tahun ini berbanding RM1 bilion pada 2019.

Pengarah Urusannya, Datuk Dr Ramly Mokni, berkata sasaran itu berdasarkan permulaan operasi kemudahan baharunya di Selangor Hal Hub, Pulau Indah pada Jun ini yang mampu meningkatkan penghasilan produk enam kali ganda.

Beliau berkata, kemudahan berprestasi tinggi dan terbesar di rantau ini bakal menghasilkan produk burger, frankfurter, nugget dan bebola daging dengan lebih banyak dan cepat iaitu pada kadar 5 tan sejam bagi setiap satu produk untuk fasa pertama. Sebagai permulaan Ramly melabur melebihi RM500 juta bagi mewujudkan keupayaan empat barisan pengeluaran.

Selepas itu, kumpulan akan menambah dua barisan pengeluaran dengan pelaburan tambahan sehingga RM1 bilion dalam jangka masa tiga tahun lagi. Apabila kemudahan ini beroperasi kelak, ia mampu menghasilkan enam juga keping daging burger sehari berbanding sejuta ketika ini.

Kami juga mamppu untuk meneroka pasaran tempatan dan eksport kerana mempunyai bekalan lebih banyak. Ketika ini permintaan tinggi tetapi pengeluaran rendah dan tidak mampu mencapai sasaran.

Dengan kemudahan baharu, kami berharap mampu memenuhi permintaan pasaran tempatan dan eksport, katanya selepas majlis Dana Transformasi Pendigitalan Industri (IDTF) Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) di Kuala Lumpur semalam.

Ramly menjadi penerima dana pertama IDTF yang bertujuan merancakkan industri dalam menerapkan teknologi pintar.

Ramly yang memulakan perniagaan secara kecil-kecilan bersama isterinya, Datin Shala Siah Abdul Manap menghasilkan daging burger bermodalkan RM2,000 pada 1978, kini menjadi jenama utama pengguna Malaysia.

Gerai burger pertamanya dibuka di sekitar Kampung Baru, Chow Kit, Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur yang menjual daging burger mentah dan siap dimasak.

Pelbagai cabaran dihadapinya dalam memasarkan dan menaikkan jenama Ramly sehingga beliau mempunyai kemudahan pembuatan sendiri yang mampu menghasilkan 10,000 keping daging burger sehari sehingga kini sejuta keping bakal meningkatkan kepada 6 juta keping sehari.

Mengulas lanjut, Ramly berkata, ketika ini 70 peratus pengeluaran untuk pasaran tempatan, manakala 30 peratus eksport. Namun beliau berkata, pihaknya menyasarkan dalam tempoh satu atau dua tahun lagi, 30 peratus adalah untuk tempatan, manakala 70 peratus eksport.

Katanya, peningkatan pengeluaran menjadikan kumpulan Ramly berupaya untuk menguasai pasaran tempatan dan menumpukan kepada peningkatan pasaran eksport.

Kami juga meninjau pasaran eksport baharu seperti Jepun, selain negar Asia bagi pemasaran produk Ramly yang ketika ini menpunyai 108 produk SKU.

Kami juga mahu mengukuhkan lagi jenama dengan menambah rangkaian Ramly Halal Mart dan Ramly Halal Kiosk kepada lebih 450 kedai Ramly Halal Mart dan 12 kedai Ramly Halal Kiosk ketika ini.

Begitu juga dengan usahawan gerai burger kami, ketika ini dalan 25,000 hingga 30,000 namun selepas ini kami menyasarkan 50,000 hingga 100,000 usahawan gerai burger. Kami mahu rangkaian Ramly berada di seluruh negara dan rantau ini, katanya.



« Back