Return to Full Page

Bank Pembangunan, Belia Prihatin Tanam 500 Pokok Bakau di Taman Alam Kuala Selangor

 

KUALA LUMPUR, 28 Februari 2023

 

Lebih 120 kakitangan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dan sukarelawan dari Kelab Belia Prihatin Malaysia menanam sebanyak 500 anak pokok bakau di Taman Alam Kuala Selangir, baru-baru ini.

 

Program anjuran Amanah Lestari Alam (ALAM) itu bertujuan mempromosikan penanaman anak pokok bakau sebagai bahagian penting dalam usaha keseluruhan untuk pemulihan alam sekitar.

 

Ia juga memulihkan dan melindungi kawasan bakau di taman tersebut, termasuk menyokong inisiatif 100 juta penanaman pokok secara berterusan menjelang 2025.

 

Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan BPMB, Sainursalwa Sani, berkata, program ini merupakan bukti salah satu tunjang utama tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya, iaitu menjaga alam sekitar.

 

Beliau berkata, melalui ALAM, pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan Belia Prihatin dalam usaha berterusan yang memberi manfaat kepada alam sekitar dan masyarakat setempat.

 

“Kami akan terus memainkan peranan kami dalam mendidik orang ramai tentang kepentingan pemuliharaan alam sekitar,” katanya dalam kenyataan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif ALAM, Wan Faizah Che Din pula berkata, orang ramai perlu sedar tentang kepentingan hutan bakau dalam keseluruhan biodiversiti.

 

Katanya, kajian telah menunjukkan bahawa bakau memainkan peranan penting sebagai penghalang semula jadi terhadap garis pantai yang menghakis, dan bakau juga memerangkap empat kali lebih banyak karbon daripada hutan biasa.

 

“Memandangkan manfaat besar penanaman bakau, pentadbiran dan pemuliharaan yang betul adalah perlu untuk memastikan kewujudannya berterusan.

 

“Kami mengalu-alukan semua kerjasama pihak korporat dan kerajaan untuk menangani keperluan untuk memulihara dan memulihkan tanah lembap,” katanya.

 

Katanya, menanam anak pokok bakau juga penting dalam mewujudkan habitat baharu untuk hidupan liar, membantu mengurangkan kesan perubahan iklim dan menyediakan bekalan makanan laut yang mampan serta jangka panjang. – DagangNews.com