Return to Full Page

Belanjawan 2021 rangsang pembangunan ekonomi digital
Friday, 6 Nov 2020
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
 

Kuala Lumpur: Keputusan kerajaan untuk melanjutkan Skim Transformasi Pendigitalan Industri dilihat mampu merangsang inisiatif pendigitalan di negara ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Berhad, Arshad Mohamed Ismail berkata, kewangan yang diberikan terhadap skim ini sangat berkesan dalam membantu pemulihan ekonomi negara.

Sebarang langkah untuk membantu mengurangkan impak Covid-19 ke atas rakyat dan perniagaan adalah amat penting ketika ini dan mampu merangsang semula ekonomi, katanya dalam kenyataan hari ini.

Di bawah Belanjawan 2021, sebanyak RM 1 bilion diperuntukan untuk pelaksanaan Skim Transformasi Pendigitalan Industri bagi merancakkan aktiviti pendigitalan, dengan ketersediaan dana sehingga 21 Disember 2023.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia adalah sebahagian daripada strategi kerajaan untuk mengutamakan automasi dan pendigitalan.

Sementara itu, Ketua Cukai KPMG Malaysia, Tai Lai Kok berkata, antara pengumuman penting dalam belanjawan kali ini termasuklah peruntukan sebanyak RM300 juta bagi memacu perdagangan dalam talian untuk pengeluaran dan peniagaan tempatan.

Peruntukan ini amat penting bagi memastikan negara bergerak ke hadapan dan melalui fasa pemulihan dengan lebih pantas, katanya.

Beliau menyifatkan ia satu pengiktirafan yang baik terhadap kaedah kita menjalankan perniagaan yang sudah ketinggalan zaman dan memerlukan pembaharuan sekiranya tidak mahu ketinggalan dalam pergerakan pantas dunia hari ini. 

 



« Back