Return to Full Page

BPMB, dua bank China jalin kerjasama
Monday, 14 Sept 2020
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
 

Kuala Lumpur: Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan China Construction Bank (Malaysia) Bhd (CCBM) dan China Construction Bank Corporation cawangan Labuan (CCBL) sebagai satu bentuk kerjasama strategik.

Menurut BPMB dalam kenyataan, MoU yang ditandatangani Jumaat lalu itu merupakan satu daripada asas di bawah Pelan Strategik tiga tahun bermula 2020 hingga 2022 institusi kewangan tersebut.

Katanya kerjasama tersebut adalah untuk memudahkan kerjasama dalam membiayai projek strategik di Malaysia.

Majlis pemeteraian MoU itu disaksikan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan turut dihadiri Pengerusi BPMB, Datuk Zaiton Mohd Hassan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif BPMB, Arshad Mohamed Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif CCBM dan Pegawai Principal CCBL, Felix Feng Qi.

MoU itu akan menyediakan platform kepada BPMB untuk jangkauan rantau ini dan membuka jalan bagi kerjasama, perkongsian pengetahuan dan bantuan teknikal.

Selain itu, ia juga akan membolehkan pemindahan pengetahuan antara semua pihak terutama dalam strategi hijau CCBM dan CCBL serta projek Rangka Kerja Penilaian dan impak BPMB, kata Arshad dalam kenyataan di sini.



« Back