Return to Full Page

Azmin buat rundingan susulan
Selasa, 21 Januari 2020
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
 

KUALA LUMPUR – Kerajaan meneliti secara terperinci kertas cadangan pemulihan Malaysia Airlines Bhd (Malaysia Airlines) khususnya dalam menentukan rakan strategik syarikat penerbangan negara itu.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru ini sudah bertemu dengan syarikat antarabangsa dan mengarahkan beliau mengadakan perbincangan susulan.

Perbincangan susulan itu, tambah Azmin, dijangka diadakan dalam masa terdekat sebelum mengemukakan semua cadangan kepada kerajaan dan pemegang kepentingan Malaysia Airlines iaitu Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Bhd (Khazanah).

Ketika ini memang kita terima beberapa kertas cadangan dan ia diteliti Khazanah dalam mesyuarat lembaganya namun kami masih melihat keperluan meneliti kertas cadangan lain. Ini kerana tawaran diterima tidak begitu menarik dan memerlukan kajian terlebih dulu. Ada juga beberapa syarikat antarabangsa yang menyatakan minat membantu Malaysia Airlines.

Kita jangka jika semua cadangan ini dapat diteliti dan menerima kertas cadangan yang menarik, rakan kerjasama Malaysia Airlines dapat dimuktamadkan secepat mungkin. Kerajaan mahu keputusan ini dicapai kerana ingin mengurangkan bebanan Khazanah ketika ini, katanya selepas majlis Dana Transformasi Pendigital Industri (IDTF) Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi BPMB Datuk Zaiton Mohd Hassan dan pengarah Urusan Ramly Food Industries Sdn Bhd, Datuk Ramly Mokni.

Perdana Menteri juga mengesahkan kerajaan menerima lima kertas cadangan untuk Malaysia Airlines dan menyatakan ada antara kertas cadangan itu ditolak. Beliau berkata, kerajaan perlu meneliti kertas cadangan daripada semua pihak bagi mencari penyelesaian yang baik.

Sementara itu dalam majlis IDTF BPMB, Ramly Food Industries Sdn Bhd menjadi penerima dana pertama IDTF yang bertujuan merancakkan industri dalam menerapkan teknologi pintar.

Zaiton berkata, BPMB memperuntukkan dana sebanyak RM2.0 bilion dengan insentif subsidi kadar faedah dua peratus.

Ini bertujuan memberi kelebihan kepada syarikat menggunakan teknologi seperti robotic dan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi mereka, katanya.



« Back