Return to Full Page

MALAYSIA KINI - Bank Pembangunan tumpu permohonan IDTF pembiayaan lebih RM20 juta
Rabu, 6 Mac 2019
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
 

Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) akan memberi tumpuan dengan membuat penilaian ke atas syarikat yang memerlukan pembiayaan lebih RM20 juta daripada Dana Transformasi Pendigitalan Industri (IDTF), kata Pengerusinya, Zaiton Mohd Hassan.

IDTF memperuntukkan RM3 bilion, seperti diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2019, bertujuan menambah baik penerimagunaan teknologi berkaitan Industri 4.0 untuk mempertingkat pengeluaran dan daya saing perniagaan Malaysia.

Beliau berkata SME Bank Malaysia dijangka menilai permohonan bagi dana yang lebih kecil. “Kami mencari syarikat Malaysia serta yang dimiliki pihak asing, memandangkan kami tidak terhad kepada hanya syarikat kecil. Sebenarnya BPMB akan melakukan lebih daripada apa yang kami laksanakan sekarang.

“Buat masa ini kami menyasarkan firma besar namun bagi IDTF kami mencari syarikat yang memerlukan dana untuk pengkomersialan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran dana itu di Kuala Lumpur, hari ini.

Zaiton juga mengulas bahawa BPMB telah memperoleh kelulusan Bank Negara Malaysia bagi pengeluaran dana berkenaan, walaupun pihaknya sedang di peringkat untuk menjalankan kempen pemasaran bertujuan menarik minat pemohon.

Menerusi IDTF, peminjam akan mendapat manfaat daripada subsidi dengan faedah dua peratus setahun, disediakan oleh kerajaan untuk syarikat yang berhasrat mempertingkat teknologi pengeluaran masing-masing.

Pembiayaan itu akan ditawarkan kepada peminjam melalui produk sedia ada BPMB, sejajar dengan piawaian dan garis panduan penaja jamin kredit bank tersebut.

Dalam kenyataan, bank itu berkata IDTF boleh digunakan untuk membiayai sebahagian pembelian atau pembangunan aset khusus, termasuk perisian, lesen dan paten.

“Ia juga boleh membiayai sebahagian projek atau kontrak berkaitan teknologi digital, dan pembiayaan itu mungkin ditawarkan kepada syarikat teknologi atau pembuatan untuk menerima guna teknologi dalam usaha mempertingkat operasi masing-masing,” menurut BPMB.

Dana itu juga terbuka kepada syarikat yang mahu mendapatkan bantuan kewangan bagi membangunkan infrastruktur berkaitan penerimagunaan teknologi.



« Back