Return to Full Page

BPMB sumbang computer kepada pelajar buka peluang pendidikan sama rata
Friday , 27 Nov 2020
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

 

Kuala Lumpur: Bagi mengukuhkan komitmen untuk memperjuang peluang sama rata supaya semua pelajar menerima pendidikan yang berkualiti, Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) telah menyumbang komputer yang dilengkapi cakera keras dan perisian baharu kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Titiwangsa di sini.

Sumbangan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Sekolah Angkat BPMB iaitu Supporting English Enpowerment to Drive Sustainability (SEEDS).  SMK Seri Titiwangsa merupakan sekolah pertama yang mendapat manfaat daripada program itu susulan majlis pelancaran rasmi yang diadakan pada 15 September 2020.

Program itu bertujuan memperkasa penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah dan memupuk kesedaran mereka tentang Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif BPMB, Arshad Mohamed Ismail berkata, pendemik COVID-19 yang kian menular telah memberikan pencerahan terhadap kepentingan kegunaan teknologi dalam membantu pelajar untuk meneruskan pembelajaran mereka.

Oleh itu, usaha kami untuk menyediakan pelajar dengan alat dan peralatan yang diperlukan untuk pembelajaran atas talian menyokong usaha dan dorongan berterusan kami untuk memastikan semua pelajar diberikan peluang sama rata untuk mendapatkan pendidikan yang berkualiti, kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Majlis pelancaran rasmi yang diadakan di SMK Seri Titiwangsa telah melibatkan pelajar tingkatan empat secara langsung di mana majlis pelancaran tersebut diisi dengan pelbagai agenda seperti perkongsiaan daripada wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Direct English dan ZerOHunger Malaysia.

Mereka diberi pencerahan tentang SDG, kepentingan Bahaga Inggeris dan kebaikan pertanian dalam Bandar (Urban Farming).  Turut hadir, Ketua Operasi Kumpulan BPMB, Muhammad Azraini Abdul Hamid, Pengetua SMK Seri Titiwangsa, Zamzuri Abdullah, Penolong Kanan Pentadbiran dan Kurikulum SMK Seri Titiwangsa, Mohd Arif Mohd Ali dan Penolong Kanan, Hal Ehwal Murid SMK Seri Titiwangsa, Kamarul Nizar Ismail.

Sementara itu, Zamzuri berkata pihaknya memuji komitmen BPMB untuk memperjuangkan Bahasa Inggeris dalam kalangan kanak-kanak sekolah dan bersyukur kerana telah diberikan peluang untuk menjadi sekolah pertama yang mendapat manfaat daripada program SEEDS.

Sumbangan komputer kepada sekolah kami adalah tepat pada masanya dan amatlah diperlukan terutama apabila pembelajaran dalam talian adalah sangat penting ketika keadaan semasa.

Kami berharap agar lebih banyak organisasi dapat menerajui usaha sama seperti pihak BPMB untuk terus memainkan peranan aktif dalam membantu bakal pemimpin masa hadapan terus maju pada hari ini, katanya.



« Back