Return to Full Page

Khazanah masih cari rakan strategik Malaysia Airlines
Selasa, 21 Januari 2020
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
 

Kuala Lumpur – Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) masih mencari rakan strategik bagi syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Khazanah sedang meneliti tawaran daripada beberapa syarikat yang berminat dan ia telah dibangkitkan dalam mesyuarat lembaga pengarah.

Tetapi kami masih berasakan ada keperluaan untuk melihat pandangan dan tawaran lain kerana tawaran yang sedia ada tidak begitu menarik dan harus dikaji terlebih dahulu. Beberapa syarikat antarabangsa telah menyatakan minat untuk membantu. Kami berhasrat untuk tidak menjual syarikat penerbangan nasional itu tetapi mencari rakan strategik bagi memperbaiki kedudukannya hari ini, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis untuk mengiktiraf Ramly Food Industries Sdn Bhd sebagai penerima pertama Dana Transformasi Pendigitalan Industri daripada Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) di sini semalam.

Saya tidak mahu memberikan sebarang tempoh masa tetapi Perdana Menteri telah menerima kunjungan daripada sebuah syarikat antarabangsa dan saya diminta untuk membuat susulan mengenai perbincangan itu secepat mungkin, katanya.

Pada Oktober 2019, Mohamed Azmin Ali berkata, Khazanah telah menerima beberapa cadangan daripada syarikat penerbangan dan juga syarikat bukan penerbangan untuk menjadi rakan strategik bagi Malaysia Airlines. Ditanya mengenai kesimpulan berpotensi terhadap langkah tersebut, Mohamed Azmin berkata, Saya berharap kami dapat menamatkan keseluruhan langkah tersebut secepat mungkin kerana kami mahu Malaysia Airlines berada pada hala tuju pertumbuhan untuk mengurangkan beban kewangan Khazanah.

Mengenai rundingan semula antar Khazanah dan Telenor ASA, Mohamed Azmin berkata, dana kekayaan Negara itu akan mengkaji perjanjian itu jika tawaran tersebut ‘baik’.

Ia dimulakan tahun lepas tetapi rundingan berkenaan digantung kerana sebab tertentu. Setakat ini tiada lagi perkembangan terbaru mengenainya, katanya. Mohamed Azmin mengulas mengenai laporan berita yang menyatakan bahawa Khazanah dan Telenor telah memulakan semula rundingan mengenai pernjanjian yang berpotensi melibatkan Axiata Group Bhd.



« Back