Return to Full Page

KUALA LUMPUR, 6 Mac 2024

Bank Pembangunan Malaysia Bhd mengumumkan sokongannya dalam memajukan infrastruktur digital Malaysia dengan penyediaan kemudahan Pembiayaan Aset Tawarruq berjumlah RM253.5 juta kepada Pi Data Center Sdn Bhd (PIDC) untuk pembinaan sebuah pusat data canggih di Cyberjaya, Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Pembangunan, Roni Abdulwahab berkata, pihaknya berbangga menyumbang kepada perjalanan transformasi digital Malaysia dengan menyokong pembinaan pusat data termaju itu.

Katanya, kerjasama itu menekankan komitmen bank untuk menyampaikan modal impak pembangunan negara dan percaya bahawa pelaburan dalam infrastruktur digital adalah penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan daya saing negara di peringkat global.

“Inisiatif PiDC selaras dengan strategi nasional seperti MyDIGITAL dan NIMP 2030. Melalui sokongan kami, projek ini bukan sahaja membuka jalan kepada pembangunan infrastruktur digital yang teguh, tetapi juga memudahkan pertumbuhan tenaga kerja digital, meningkatkan keupayaan Malaysia dalam inovasi digital,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PiDC, Ong Chin Seong mengesahkan kepentingan projek itu, menekankan komitmennya terhadap kemampanan dan pembangunan bakat.

“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Bank Pembangunan dalam merealisasikan visi ke arah pusat data bertaraf dunia yang bukan sahaja memenuhi piawaian kecekapan dan prestasi tertinggi tetapi juga berfungsi sebagai pemangkin untuk kelestarian alam sekitar dan pembangunan bakat.

“Melalui kerjasama strategik dan inovasi, kami berhasrat untuk menetapkan penanda aras baharu industri sambil menyumbang kepada perjalanan transformasi digital Malaysia,” katanya.

Menurut kenyataan itu, PiDC direka bentuk untuk mencapai pensijilan ‘Perak’ dan ‘GreenRe Gold LEED’ (Kepimpinan dalam Reka Bentuk Tenaga dan Alam Sekitar), yang menunjukkan komitmennya terhadap amalan mesra alam dalam reka bentuk, pembinaan dan operasi.

Selain itu katanya, PiDC merancang menyediakan latihan industri dan pendedahan kepada pelajar dari institusi latihan vokasional serta universiti, menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja mahir dan memupuk inovasi dalam sektor digital – DangNews.com



« Back