Return to Full Page

KUALA LUMPUR, 9 Februari 2024

Anak syarikat Zecon Bhd, Zecon Medicare Sdn Bhd (ZMSB) dan subsubsidiari, ServeCo Sdn Bhd, menerima kemudahan pembiayaan aset tawarruq berjumlah RM851.94 juta daripada Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB).

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, Zecon menjelaskan ZMSB diberikan pinjaman RM616.94 juta manakala ServeCo memperoleh sebanyak RM235 juta.

“ZMSB akan menggunakan kemudahan dari bank itu sebanyak RM482.0 juta untuk menyelesaikan Kemudahan Pembiayaan Berjangka Islam Berstruktur sedia ada yang diberikan oleh MBSB Bank Bhd kepada ZMSB.

“Sementara itu, bakinya akan diperuntukkan bagi membayar kontraktor untuk peningkatan kos projek hospital pakar kanak-kanak yang ditanggung selain sebagai modal kerja,” menurut Zecon.

Zecon memaklumkan ServeCo pula akan menggunakan kemudahan RM235 juta itu untuk menyelesaikan sepenuhnya pinjaman sedia ada kumpulan itu dengan institusi kewangan di sampaing sebagai modal kerja.

Tempoh kemudahan bagi kedua-dua anak syarikat adalah sehingga 20 tahun daripada tarikh pengeluaran pertama kemudahan perbankan itu, tambahnya.

“Kemudahan perbankan itu akan mendorong peningkatan kecil ke atas nisbah kadar hutang, namun memberi kesan positif kepada nisbah semasa kumpulan,” katanya. - BERNAMA



« Back