Return to Full Page

KUALA LUMPUR, 9 Februari 2024

Zecon Berhad telah menerima kemudahan Pembiayaan Aset Tawarruq bernilai RM851.94 juta daripada Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB).

Syarikat pembinaan dan kejuruteraan itu berkata, anak syarikatnya, Zecon Medicare Sdn Bhd (ZMSB) menerima pinjaman bank tersebut sehingga RM616.94 juta.

“Sejumlah RM482 juta diperuntukkan untuk melangsaikan kemudahan pembiayaan berjangka Islamik berstruktur (MBSBTF) sedia ada yang diberikan oleh MBSB Bank Berhad kepada ZMSB.

“Bakinya pula adalah untuk pembiayaan kepada kontraktor bagi peningkatan kos yang ditanggung daripada projek Hospital Pakar Kanak-Kanak (Universiti Kebangsaan Malaysia) dan bagi modal kerja,” jelasnya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Sementara itu, anak syarikatnya ServeCo Sdn Bhd (ServeCo) memperoleh sejumlah RM235 juta kemudahan pembiayaan yang akan digunakan bagi menyelesaikan sepenuhnya kemudahan sedia ada dengan institusi kewangan masing-masing dan untuk modal kerja.

Zecon berkata, kemudahan pembiayaan kedua-dua anak syarikatnya itu adalah bagi tempoh sehingga 20 tahun dari tarikh pengeluaran pertamanya.

Kumpulan itu berkata pinjaman tersebut tidak memberi kesan ke atas modal saham yang diterbitkan dan berbayar serta pegangan saham pemegang saham yang besar dalam syarikat, malah tidak menjejas aset bersih atau perolehan sesaham kumpulan.

Kemudahan pembiayaan itu akan meningkatkan sedikit nisbah hutang kepada ekuiti (penggearan) kumpulan, tetapi ia memberi kesan positif kepada nisbah semasanya.

Saham Zecon ditutup tinggi 2.5 sen atau 6.2% pada 43 sen hari ini, memberikannya permodalan pasaran berjumlah RM63.4 juta. – DagangNews.com



« Back