Return to Full Page

Berita Harian – LEKAS dapat pembiayaan RM1 bilion bagi kurangkan tol

 

 

KUALA LUMPUR, 1 November 2023

 

Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) memberikan pembiayaan eksklusif bernilai RM1 bilion kepada Lebuhraya Kajang-Seremban Sdn Bhd (LEKAS).

 

Pembiayaan di bawah kemudahan Pembiayaan Aset Tawarruq itu bertujuan untuk menyokong inisiatif kerajaan dalam mengurangkan kos sara hidup di bandar.

 

Hal ini kerana, LEKAS dan kerajaan sebelum ini sudah memulakan penstrukturan semula konsesi yang membabitkan pengurangan kadar tol.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Roni Abdulwahab, berkata objektif pembiayaan itu adalah untuk menstruktur semula obligasi hutang LEKAS, sekali gus memastikan lebuh raya itu kekal mampan dan mampu dimiliki oleh pengguna.

 

"Kami melihat pelaburan dalam infrastruktur seperti LEKAS adalah penting untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia, selaras dengan aspirasi MADANI.

 

"Sokongan kami kepada LEKAS mencerminkan tujuan kumpulan dalam menyampaikan modal impak tinggi untuk pembangunan negara.

 

"Bagi menyokong pertambahan penduduk di Lembah Klang yang lebih besar, pembiayaan kami untuk LEKAS seterusnya akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang berkembang pesat." katanya dalam satu kenyataan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif LEKAS, Wan Salwani Wan Yusoff, pula berkata lebuh raya LEKAS sepanjang 44.3 kilometer memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesalinghubungan antara Kajang dan Seremban serta perbandaran bersebelahan seperti Semenyih, Pajam, Mantin, Setul dan Paroi.

 

Beliau berkata, kerjasama dengan BPMB dalam inisiatif pembiayaan adalah penting serta menandakan pembukaan baharu dalam melangkah ke arah mencapai visi bersama untuk masa depan yang lebih berhubung dan mampan.

 

"Dengan pengurangan kadar tol, kami meneruskan komitmen untuk meringankan beban kewangan komuniti serta menyokong inisiatif kerajaan," katanya.

 



« Back