Return to Full Page

Detik Niaga, Buletin TV3 - SDB, BPMB biaya bersama projek RM12 bilion di Sabah

 

KOTA KINABALU, 12 Oktober 2023

 

Sabah Development Bank Bhd (SDB) dan Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) menandatangani Perjanjian Rangka Kerjasama Strategik untuk membiayai bersama beberapa projek pembangunan yang dikenalpasti di sekitar Sabah yang bernilai sehingga RM12 bilion.

 

Menteri Kewangan Negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kerjasama ini akan menjadi platform yang sesuai untuk meneroka kaedah untuk membiayai projek pembangunan besar untuk kepentingan negeri Sabah.

 

“Ia akan bertindak sebagai pemangkin untuk meningkatkan pembangunan ekonomi dan sosial di Sabah, dengan pelbagai kesan pengganda ekonomi yang positif kepada rakyat,” katanya

 

Perjanjian kerjasama strategik itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif SDB, Patricia Ubing dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Roni Abdulwahab sambil disaksikan oleh Masidi dan Pengerusi Eksekutif SDB, Datuk Seri Lim Haw Kuang.

 

Sementara itu, Patricia berkata, pembiayaan bersama antara SDB dan BPMB pada peringkat awal akan tertumpu pada bidang hidrokarbon dan tenaga peralihan, bekalan air dan ekosistem infrastruktur sosial.

 

“Sebagai Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) yang ulung di negara ini, kerjasama strategik kami dengan SDB sejajar dengan matlamat dalam menyampaikan modal impak untuk pembangunan negara.

 

“Kini, kami menilai semua aktiviti kami menggunakan rangka kerja penilaian dalaman kami yang diberi nama ‘Measuring Impact on National Development’ (MIND) untuk memastikan semua projek kami memberikan kesan sosio-ekonomi dan alam sekitar.

 

“Kami gembira kerana diberi peluang bekerjasama dan meneroka peluang yang berpotensi dengan SDB untuk terus memajukan dan memacu ekonomi Sabah selaras dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya negeri serta Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12),” katanya.

 

Kerjasama untuk jangka tiga tahun ini bakal menyaksikan SDB dan BPMB secara aktif mengenal pasti peluang untuk menyediakan pembiayaan secara bersama serta perkongsian pengetahuan untuk pembangunan negeri.

 



« Back