Return to Full Page

Malaysian Daily News - QI GROUP TERBIT SUKUK RM100 JUTA BINA KAMPUS UNIVERSITI BAHARU DI PERAK

 

PETALING JAYA, 5 September 2023

 

QI Group of Companies menerbitkan program sukuk ijarah bernilai RM100 juta, dengan Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) menjadi pelanggan utama.

 

Menurut QI Group, sukuk ijarah itu diterbitkan melalui Silver Formula ABS Bhd, sebuah syarikat tujuan khas yang ditubuhkan untuk menjalankan transaksi itu.

 

Hasil terbitannya akan digunakan untuk pembelian tanah dan pembinaan kampus Quest International University seluas 4.04 hektar di Ipoh, Perak.

 

Pengerusi Eksekutif, Datuk Seri Vijay Eswaran berkata melabur untuk pengembangan universiti akan melangkaui pembinaan sebuah institusi berprestij, kerana ia juga berkaitan dengan usaha memupuk pemimpin masa depan.

 

“Seperti yang sering saya tekankan, pendidikan berperanan sebagai asas untuk membina legasi besar.

 

“Melengkapkan komitmen bagi menyediakan pendidikan mampu milik, program biasiswa kumpulan ini telah memperkasakan ribuan pelajar yang layak sejak 2017, menganugerahkan jutaan ringgit biasiswa,” katanya semasa berucap pada majlis pemeteraian pengaturan sukuk antara QI Group dan BPMB di sini, pada Selasa.

 

Vijay berkata inisiatif sukuk bersama itu akan membawa universiti selangkah lebih dekat untuk merealisasikan visi jangka panjangnya iaitu memberi kembali kepada masyarakat di negeri utara Malaysia melalui pendidikan mampu milik dan berkualiti tinggi.

 

Menerusi suntikan modal daripada inisiatif itu, universiti akan berada pada kedudukan yang strategik untuk menangani permintaan yang semakin meningkat dan memberi sumbangan besar kepada landskap pendidikan di Malaysia.

 

Sementara itu, bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Pengarah Urusan QI Group, Kuna Senathirajah berkata pembinaan universiti baharu itu dijangka bermula pada separuh kedua 2024 dan siap dalam tempoh tiga tahun.

 

Beliau berkata kos keseluruhan untuk kampus itu termasuk tanah adalah di antara RM120 juta hingga RM150 juta.

 

“Penerbitan sukuk ini (akan berperanan) sebagai pendanaan awal untuk pembelian tanah dan (kegiatan) pembinaan.

 

“(Memandangkan) akan ada keperluan pendanaan lain, kami akan mengumpul wang untuk menyiapkan kampus ini,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB Roni Abdulwahab berkata bank itu akan memastikan semua pembiayaannya memberikan impak sosial, ekonomi dan alam sekitar melalui rangka kerja Impak Pengukuran terhadap Pembangunan Negara (MIND).

 

Beliau berkata rangka kerja itu akan melengkapkan penilaian kredit, dan pembangunan kampus baharu universiti itu di Ipoh akan membolehkan pihaknya memupuk pembangunan berimpak yang akan meningkatkan akses kepada pendidikan tinggi bagi semua lapisan masyarakat, termasuk kumpulan berpendapatan rendah.

 

“Melalui universiti, kami memenuhi misi untuk menyediakan peluang yang sama rata kepada pelajar di samping menjana prospek pekerjaan yang bermakna di Ipoh.

 

“Inisiatif ini berperanan merapatkan jurang pembangunan antara wilayah yang berbeza di negeri ini. Paling penting, ia boleh mencetuskan kemajuan ekonomi di Ipoh, melangkaui pelancongan,” katanya — BERNAMA.



« Back