Return to Full Page

Utusan TV - Kumpulan Qi Terbit Sukuk Ijarah RM100 juta, sedia pendidikan mampu milik menerusi pembinaan Kampus QIU

 

KUALA LUMPUR, 6 September 2023

 

Kumpulan QI, sebuah konglomerat multinasional negara telah melancarkan Program Sukuk Ijarah bernilai RM100 juta dengan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) sebagai pelanggan utama.

 

Sukuk Ijarah diterbitkan melalui Silver Formula ABS Berhad (SFAB), iaitu sebuah syarikat bertujuan khas yang ditubuhkan untuk menjalankan urus niaga berkaitan. Hasil terbitan akan digunakan untuk penyediaan tanah dan pembinaan kampus baharu Universiti Antarabangsa Quest (QIU) selus 4.04 hektar di Gunung Lang, Ipoh, Perak.

 

Pengerusi Eksekutif Kumpulan QI, Datuk Seri Vijay Eswaran, berkata pembinaan universiti baharu itu dijangka akan bermula pada separuh kedua tahun depan. Malah ulasnya, pelaburan ini bukan sekadar melangkaui pembangunan institusi yang berprestij semata-mata malah menyokong usaha memupuk dan mendidik bakal pemimpin pada masa akan datang.

 

“Kos pembinaan universiti ini adalah dianggarkan di antara RM120 juta hingga RM150 juta. Penerbitan sukuk ini adalah sebagai pembiayaan awal untuk pembinaan universiti ini.

 

“Seperti yang sering saya tekankan, pendidikan berfungsi sebagai landasan utama untuk melahirkan legasi yang cemerlang. Melalui pembinaan kampus jni, dapat menyediakan peluang yang sama rata kepada pelajar, di samping menjana prospek pekerjaan yang bermakna di wilayah Gunung Lang.

 

“Melengkapkan komitmen terhadap pendidikan mampu milik, program biasiswa Kumpulan QI telah memperkasakan beribu-ribu pelajar yang layak sejak 2017 dengan menganugerahkan jutaan ringgit dalam bentuk biasiswa,” ujarnya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB), Roni Abdulwahab berkata, kampus baharu itu seluas 10 ekar akan dibina dengan kemudahan terkini untuk mempromosikan persekitaran pembelajaran yang kondusif.

 

“Pihak BPMB akan memastikan semua pembiayaan akan memberikan impak sosial, ekonomi dan alam sekitar melalui rangka kerja menilai tahap terhadap Pembangunan Negara (MIND). MIND melengkapkan penilaian kredit kami dan pembangunan kampus baharu di Ipoh yang menyediakan ruang untuk pembangunan berimpak tinggi dan pada masa yang sama meningkatkan akses pendidikan tinggi kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan berpendapatan rendah,” ujarnya

 

Tambahnya lagi, melalui pembinaan universiti ini, pihaknya memenuhi misi untuk menyediakan peluang yang sama rata kepada semua pelajar.

 

“Di samping itu, pembangunan kampus dapat menjana prospek pekerjaan yang bermakna di wilayah Gunung Lang, Ipoh. Inisiatif ini berfungsi untuk mengurangkan jurang dalam pembangunan antara wilayah yang berbeza dalam negeri tersebut. Di samping itu, pembangunan jni dapat menjadi daya tarikan yang dapat menyemarakkan kemajuan ekonomi di Gunung Lang, lebih-lebih lagi dalam sektor pelancongan,” ujarnya.



« Back