Return to Full Page

Malaysia Gazzette - Kampus baharu Universiti Antarabangsa Quest tampung 6,000 pelajar

 

KUALA LUMPUR, 5 September 2023

 

Kumpulan QI, sebuah konglomerat multinasional terkenal yang merupakan pemilik Universiti Antarabangsa Quest (QIU) menyasarkan kampus baharu universiti mampu menampung sehingga 6,000 apabila siap sepenuhnya.

 

Pengerusi Eksekutif Kumpulan QI, Datuk Seri Vijay Eswaran berkata, pembinaan kampus baharu itu dijangka akan bermula pada separuh kedua tahun depan yang dijangka akan mengambil masa selama tiga tahun untuk disiapkan.

 

Beliau berkata, kos pembinaan universiti ini adalah dianggarkan di antara RM120 juta hingga RM150 juta di kawasan seluas 4.04 hektar di Gunung Lang, Ipoh, Perak.

 

“Seperti yang sering saya tekankan, pendidikan berfungsi sebagai landasan utama untuk melahirkan legasi yang cemerlang. Melalui pembinaan kampus baharu ini, ia dapat menyediakan peluang yang sama rata kepada pelajar di samping menjana prospek pekerjaan di wilayah Gunung Lang.

 

“Melengkapkan komitmen terhadap pendidikan mampu milik, program biasiswa Kumpulan QI telah memperkasakan beribu-ribu pelajar yang layak sejak 2017 dengan menganugerahkan jutaan ringgit dalam bentuk biasiswa,” ujarnya.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis tandatangan langganan Sukuk Ijarah di antara BPMB dengan Kumpulan QI di sini, semalam

 

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Roni Abdulwahab.

 

Bagi merealisasikan kampus baharu itu, Kumpulan QI telah melancarkan Program Sukuk Ijarah bernilai RM100 juta dengan Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) menjadi pelanggan utamanya.

 

Sukuk Ijarah itu diterbitkan melalui Silver Formula ABS Bhd (SFAB), sebuah syarikat tujuan khas (SPV) yang ditubuhkan untuk melaksanakan urus niaga berkenaan.

 

Penerbitan sukuk ini adalah sebagai pembiayaan awal untuk pembinaan universiti ini di mana pembiayaan seterusnya akan dilakukan pada masa akan datang.

 

Ketika ini, kampus QIU yang turut terletak di Gunung Lang, Ipoh hanya mampu menempatkan 1,000 pelajar sahaja.

 

Mengulas lanjut Vijay berkata, inisiatif sukuk bersama itu bakal membawa QIU selangkah lebih dekat untuk merealisasikan visi jangka panjangnya untuk memberi kembalik kepada masyarakat di negeri-negeri Utara Malaysia melalui pendidikan yang mampu dimiliki dan berkualiti tinggi.

 

“Dengan suntikan modal daripada inisiatif sukuk, universiti berada pada kedudukan yang strategik untuk menangani permintaan yang semakin meningkat ini dan memberi sumbangan besar kepada landskap pendidikan di rantau ini,” katanya.

 

Sementara itu Roni berkata, pihaknya memastikan semua pembiayaan memberikan impak sosial, ekonomi dan alam sekitar melalui rangka kerja Measuring Impact on National Development (MIND).

 

“MIND melengkapkan penilaian kredit kami dan pembangunan kampus baharu Universiti Antarabangsa Quest di Ipoh, Perak menyediakan jalan untuk kami memupuk pembangunan berimpak yang akan meningkatkan akses kepada pendidikan tinggi kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan berpendapatan rendah,” katanya. – MalaysiaGazette



« Back