Return to Full Page

Berita Harian - Kumpulan QI terbit sukuk bina universiti di Ipoh

 

PETALING JAYA, 5 September 2023

 

Kumpulan QI, sebuah konglomerat multinasional yang terkenal, melancarkan Program Sukuk Ijarah bernilai RM100 juta dengan Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) menjadi pelanggan utamanya.

 

Sukuk Ijarah itu diterbitkan melalui Silver Formula ABS Bhd (SFAB), sebuah syarikat tujuan khas (SPV) yang ditubuhkan untuk melaksanakan urus niaga berkenaan.

 

Hasil daripada penerbitan sukuk itu akan digunakan untuk pembelian tanah dan pembinaan Kampus Universiti Antarabangsa Quest seluas 4.04 hektar di Ipoh, Perak.

 

Pengerusi Eksekutif Kumpulan QI, Datuk Seri Vijay Eswaran, berkata pembinaan unuversiti baharu itu dijangka akan bermula pada separuh kedua tahun depan.

 

Katanya, universiti berkenaan dijangka akan mengambil masa selama tiga tahun untuk disiapkan.

 

"Kos pembinaan universiti ini adalah dianggarkan di antara RM120 juta hingga RM150 juta. Penerbitan sukuk ini adalah sebagai pembiayaan awal untuk pembinaan universiti ini.

 

"Pembiayaan seterusnya akan dilakukan pada masa akan datang," katanya pada sidang media selepas majlis tandatangan langganan Sukuk Ijarah di antara BPMB dengan Kumpulan QI di sini, hari ini.

 

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Roni Abdulwahab.

 

Mengulas lanjut Vijay berkata, inisiatif sukuk bersama itu membawa Universiti Antarabangsa Quest selangkah lebih dekat untuk merealisasikan visi jangka panjangnya untuk memberi kembali kepada masyarakat di negeri-negeri Utara Malaysia melalui pendidikan yang mampu dimiliki dan berkualiti tinggi.

 

"Dengan suntikan modal daripada inisiatif sukuk, universiti berada pada kedudukan yang strategik untuk menangani permintaan yang semakin meningkat ini dan memberi sumbangan besar kepada landskap pendidikan di rantau ini," katanya.

 

Sementara itu Roni berkata, pihaknya memastikan semua pembiayaan memberikan impak sosial, ekonomi dan alam sekitar melalui rangka kerja Measuring Impact on National Development (MIND).

 

"MIND melengkapkan penilaian kredit kami dan pembangunan kampus baharu Universiti Antarabangsa Quest di Ipoh, Perak menyediakan jalan untuk kami memupuk pembangunan berimpak yang akan meningkatkan akses kepada pendidikan tinggi kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan berpendapatan rendah.

 

"Melalui universiti, kami memenuhi misi kami untuk menyediakan peluang yang sama rata kepada pelajar, di samping menjana prospek pekerjaan yang bermakna di wilayah Gunung Lang.

 

"Inisiatif ini berfungsi untuk mengecilkan perbezaan pembangunan antara wilayah yang berbeza di negeri ini. Paling penting, ia boleh menjadi batu loncatan yang menyemarakkan kemajuan ekonomi di Gunung Lang, melangkaui pelancongan," katanya.



« Back