DagangNews.com – Bank Pembangunan sedia pebiayaan RM50 juta bagi projek hotel Hyatt Place di Bukit Jalil
KUALA LUMPUR, 15 Ogos 2023
Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB), menyediakan kemudahan pembiayaan berjangka RM50 juta kepada Mygres Ceramiche Sdn Bhd bagi menyokong pembangunan hotel Hyatt Place Kuala Lumpur di Bukit Jalil.
Dalam satu kenyataan media hari ini, BPMB berkata hotel empat bintang tersebut terletak di lokasi yang strategik bersebelahan dengan Pavilion Bukit Jalil dan berdekatan dengan kemudahan mesyuarat utama, insentif, persidangan dan pameran (MICE).
Di samping itu, ia juga berhampiran Stadium Bukit Jalil, Bukit Jalil Golf & Country Resort, Universiti Perubatan Antarabangsa serta Taman Rekreasi Bukit Jalil seluas 32 hektar.
Menurut bank itu, Hyatt Place adalah hotel antarabangsa pertama di hab satelit Bukit Jalil itu dan bersedia untuk menjadi hotel perniagaan antarabangsa terulung di Kawasan itu.
Ia dijangka dapat mewujudkan peluang pekerjaan dan memangking aktiviti ekonomi di kawasan sekitar.
“Kami berharap perjalanan kami dengan Mygres akan terus menyumbang kepada industri pelancongan dan aktiviti ekonomi di Bukit Jalil.
“Kami berharap peranan kami dalam projek ini akan membantu membangunkan lagi Bukit Jalil dan kawasan sekitarnya menjadi hab satelit yang berkembang maju di Lembah Klnag,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif BPMB, Roni Abdulwahab.
Sementara itu, Pengarah Urusan Mygres, Datuk Vincent Lye berbesar hati BPMB menjadi rakan kongsi pembiayaannya bagi menyokong visi Hyatt Place menjadi kenyataan.
“Perkongsian ini menandakan komitmen bersama untuk memupuk inovasi, pertumbuhan ekonomi dan mencipta dinamik baharu dalam industri hospitaliti.
“Mygres tekad untuk menjadikan hotel Hyatt Place hibrid yang akan menjadi bukti kepada usaha kerjasama kami,” tambahnya. – DangangNews.com
« Back