Return to Full Page

Berita Harian - Bank Pembangunan biayai pembangunan hotel Hyatt Place Bukit Jalil

 

KUALA LUMPUR, 15 Ogos 2023

 

 

Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) mengumumkan kemudahan pembiayaan berjangka RM50 juta kepada Mygres Ceramiche Sdn Bhd (Mygres) untuk menyokong pembangunan hotel Hyatt Place Kuala Lumpur (Hyatt Place) di Bukit Jalil.

 

Hotel berkenaan terletak di lokasi yang strategik bersebelahan Pavilion Bukit Jalil dan berdekatan dengan kemudahan mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) utama.

 

Ia juga berhampiran Stadium Bukit Jalil, Bukit Jalil Golf & Country Resort, International Medical University serta Taman Rekreasi Bukit Jalil seluas 32 hektar, serta mudah diakses melalui Lebuhraya Bukit Jalil, Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban dan Lebuhraya Shah Alam.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Roni Abdulwahab, berkata pihaknya berbesar hati untuk menyokong Mygres untuk pembangunan Hyatt Place, hotel antarabangsa empat bintang pertama di Bukit Jalil.

 

Beliau berkata, BPMB sentiasa memastikan semua pembiayaannya memberikan impak sosial, ekonomi dan alam sekitar.

 

Katanya, projek dinilai menggunakan kami rangka kerja penilaian impak yang tersendiri, iaitu Mengukur Kesan terhadap Pembangunan Negara atau MINDA, yang melengkapkan penilaian kreditnya.

 

"Kami berharap perjalanan kami bersama Mygres akan terus menyumbang kepada industri pelancongan dan aktiviti ekonomi di Bukit Jalil.

 

Pengarah Urusan Mygres, Datuk Wira Vincent Lye, berkata pihaknya berbesar hati untuk mempunyai BPMB sebagai rakan kongsi pembiayaan dalam menjadikan visi syarikatnya untuk Hyatt Place Kuala Lumpur Bukit Jalil menjadi kenyataan.

 

Beliau berkata, kerjasama itu menandakan komitmen bersama untuk memupuk inovasi, pertumbuhan ekonomi dan mencipta dinamik baharu dalam industri hospitaliti.

 

"Mygres berdedikasi untuk menyampaikan hotel Hyatt Place hibrid yang akan menjadi bukti kepada usaha kerjasama kami," katanya.

 

Hyatt Place ialah hotel antarabangsa pertama di hab satelit Bukit Jalil dan bersedia untuk menjadi hotel perniagaan antarabangsa terulung di kawasan itu.

 

Ia dijangka dapat mewujudkan peluang pekerjaan dan memangkin aktiviti ekonomi di kawasan sekitar.

 

Impak positif projek itu adalah sejajar dengan matlamat menyeluruh BPMB untuk memacu pertumbuhan mampan yang memberi manfaat kepada perniagaan dan komuniti.



« Back