Kembali ke Halaman Penuh

Berita HarianBPMB rancang urus, bangun tanah wakaf terbiar

KUALA LUMPUR, 22 Julai 2022

 

Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) akan melaksanakan langkah baharu untuk mengurus dan membangunkan tanah wakaf yang tidak digunakan di Malaysia, sekali gus memberikan impak ekonomi kepada golongan berpendapatan rendah.

 

Pengerusi BPMB, Tan Sri Nazir Razak, berkata ketika ini terdapat banyak aset hartanah wakaf di seluruh dunia Islam yang masih kurang digunakan termasuk juga di Malaysia.

 

Beliau berkata, berdasarkan data sedia ada, dianggarkan hanya sekitar 13 peratus daripada tanah wakaf telah digunakan untuk tujuan pembangunan.

 

"Peratusan tanah wakaf terbiar yang tinggi ini disebabkan oleh kekurangan kepakaran teknikal dan sumber kewangan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Bagi merealisasikan rancangan itu, BPMB memeterai perjanjian kajian teknikal dengan Islamic Development Bank (IsDB) dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bagi menubuhkan Dana Pelaburan Hartanah Awqaf (APIF) di Malaysia.

 

Melalui kerjasama itu, kajian teknikal turut akan dijalankan bagi menilai kebolehlaksanaan pembangunan wakaf di Malaysia diikuti dengan penubuhan APIF. Nazir berkata, kerjasama itu menandakan langkah pertama BPMB ke arah pembiayaan pembangunan wakaf.

 

"IsDB telah melaksanakan banyak projek wakaf di negara luar seperti Arab Saudi, Bangladesh dan Amerika Syarikat (AS). Kami mahu menggunakan pengalaman dan kemahiran mereka untuk melakukan perkara yang sama di sini.

 

"Dengan meneroka potensi aset wakaf yang belum diterokai, kami percaya kerjasama ini akan memberi impak pembangunan yang ketara kepada negara dan memberi manfaat kepada penerima yang berpendapatan rendah.

 

"Langkah pertama ialah kajian teknikal bagi menilai kebolehlaksanaan pasaran pembangunan wakaf dengan kerjasama YWM," katanya.

 

Nazir berkata, perjanjian kajian teknikal itu adalah kerjasama unik yang dimulakan oleh Pusat Kecemerlangan IsDB di Kuala Lumpur dan dijangka memberi manfaat kepada landskap pembangunan Malaysia.

 

Beliau berkata, Pusat Kecemerlangan IsDB di Kuala Lumpur komited untuk menyokong inisiatif selaras dengan keutamaan dan pengalaman pembangunan Malaysia.

 

Potensi usaha BPMB katanya adalah dalam pembiayaan wakaf sejajar dengan aspirasi Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI) Bank Negara Malaysia (BNM) dengan menawarkan kewangan sosial Islam dalam perbankan arus perdana.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Prof Dr Amir Shaharuddin, berkata kerjasama yang dilaksanakan ini tepat pada masanya kerana ia membantu membolehkan akses kepada pasaran tanah dan kredit.

 

Beliau berkata, ia boleh menjadi peluang pembangunan yang berpotensi untuk diterokai oleh institusi kewangan Islam.

 

"Pembangunan wakaf adalah satu cara kebajikan yang mampan dan penting dalam membina sosio ekonomi kepada rakyat," katanya.

 

Presiden dan Pengerusi Kumpulan IsDB, Dr Muhammad Al Jasser pula berkata, pihaknya gembira dapat bekerjasama dengan BPMB menubuhkan APIF-Malaysia.

 

"Bersama BPMB, kami berharap kajian teknikal ini akan membuka kunci nilai dan potensi sebahagian besar tanah wakaf di Malaysia yang masih terbiar dan belum dibangunkan.

 

"Ini akan menjadi perkongsian APIF pertama di Asia Tenggara," katanya.



« Back