Kembali ke Halaman Penuh

Astro Awani – Nazir Razak akhiri perkhidmatan sebagai Pengerusi BPMB>

 

KUALA LUMPUR, 20 April 2023

 

Tan Sri Nazir Razak akan bersara dari jawatannya sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) berkuat kuasa 22 April ini selepas tamat tempoh dua tahun perkhidmatan.

 

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas peluang untuk berkhidmat di BPMB selama dua tahun ini," kata Nazir dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh BPMB, hari ini.

 

Menurut tokoh perbankan negara itu, sepanjang dua tahun bersama BPMB, beliau bersama pasukannya berjaya menyelesaikan penggabungan dengan Danajamin selain memperkukuhkan pasukan pengurusan

 

"Dalam tempoh ini, kami berjaya memperbaiki operasi dan keseluruhan tadbir urus, yang mana hasilnya kini kumpulan BPMB yang lebih kukuh dan bersepadu. Kami juga telah melancarkan Agenda 2025 (rancangan transformasi tiga tahun kami) dan juga rangka kerja MIND (Measuring Impact on National Development), suatu kaedah objektif untuk menilai pinjaman dan pelaburan kami," kata Nazir lagi.

 

Nazir yang sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi CIMB Group menyertai BPMB pada tahun 2021 dengan matlamat untuk menyelia penggabungan yang dirancang antara institusi kewangan pembangunan (DFI) Malaysia.

 

Fasa I, iaitu penggabungan antara Danajamin Berhad dan BPMB telah diselesaikan pada tahun 2023, dan fasa II - penggabungan dengan SME Bank dan EXIM Bank - masih menjadi sebahagian daripada perancangan konsolidasi DFI, seperti yang diumumkan dalam Bajet 2020.

 

"Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada lembaga pengarah, pengurusan dan kakitangan BPMB untuk masa depan. BPMB mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan mempunyai potensi untuk memberi impak yang lebih besar atas pembangunan negara.

 

"Selepas ini, masa saya akan tertumpu kepada pelaburan ekuiti swasta ASEAN yang saya usahakan dan juga peranan baharu saya sebagai pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan (Business Advisory Council) ASEAN Malaysia," kata Nazir lagi.

 

Sementara itu, BPMB juga merakamkan penghargaan kepada Nazir di atas sumbangannya yang tidak ternilai.

 

BPMB ditubuhkan pada 28 November 1973 sebagai institusi kewangan pembangunan untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana melalui kemudahan pembiayaan, latihan dan perkhidmatan nasihat.



« Back