Kembali ke Halaman Penuh

Berita Harian - Bank Pembangunan selesai penggabungan bersama Danajamin

 

Kuala Lumpur, 21 Mac 2023

 

Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) mengumumkan penyelesaian penggabungan bersama Danajamin Nasional Bhd (Danajamin), susulan pemindahan perniagaan Danajamin kepada BPMB berkuat kuasa 1 Mac 2023.

 

Proses penggabungan bermula pada September 2021 dengan perjanjian dimeterai antara BPMB dan pemegang saham Danajamin pada masa itu, Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) serta Kementerian Kewangan (Diperbadankan) bagi pengambilalihan 100 peratus penanggung jaminan kewangan itu.

 

Sejak itu, entiti tergabung berjaya diintergrasikan.

 

Integrasi itu termasuk menubuhkan pasukan kepimpinan bersama, mentakrifkan semula matlamat, aspirasi dan nilai teras Kumpulan BPMB, di samping menyeragamkan proses dan sistem selain manfaat pekerja.

 

Susulan selesainya Skim Pemindahan Perniagaan (BTS) awal bulan ini, penggabungan itu diakhiri dengan penyerahan lesen Danajamin kepada Bank Negara Malaysia (BNM) pada 6 Mac 2023.

 

Penggabungan itu adalah sebahagian pelan jangka sederhana kerajaan untuk mengukuh dan menyelaraskan mandat Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) bagi menambah baik ekosistem pembiayaan pembangunan negara.

 

Pengerusi Kumpulan BPMB, Tan Sri Nazir Razak, berkata integrasi BPMB dan Danajamin adalah langkah pertama ke arah pembangunan sektor DFI yang lebih mantap dan seragam di Malaysia, meletakkannya dalam kedudukan lebih baik bagi menyokong perniagaan serta sektor ekonomi disasarkan.

 

"BPMB bersedia untuk bergerak ke hadapan dengan penggabungan selanjutnya, mengikut arahan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Roni Abdulwahab, berkata: "Ini waktu yang mengujakan bagi semua orang di BPMB, kerana penyelesaian penggabungan ini bertemu dengan ulang tahun ke-50 kami."



« Back