Kembali ke Halaman Penuh

KUALA LUMPUR, 17 Ogos 2022

 

Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) telah memenangi anugerah pada “The Asset Triple A Sustainable Infrastructure Awards 2022”, atas penyertaannya dalam perjanjian pembiayaan bertempoh berdsindiket Loji Janakuasa Pulau Indah bernilai RM2.7 bilion yang memenangi Perjanjian Kuasa/Utiliti Tahunan untuk Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Roni L. Abdulwahab berkata, mereka gembira menjadi sebahagian daripada pembangunan Loji Janakuasa Pulau Indah dan penerima anugerah berprestij itu.

 

“Sebagai sebuah institusi kewangan pembangunan, keutamaa kami adalah untuk menyampaikan modal impak untuk menyokong pembangunan negara yang strategik dan mampan.

 

“Dengan pelaksanaan penilaian rangka kerja impak kami pada projek ini, yang dikenali sebagai Mengukur Kesan Terhadap Pembangunan Negara (MIND), kami dapat mencapainya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Berpandukan pada Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang terpilih, rangka kerja MIND yang dibangunkan bersama dengan kumpulan Bank Dunia dengan kerjasama pelbagai kementerian di Malaysia sebagai rangka kerja hujung ke hujung yang mengukur impak pembangunan untuk melengkapkan proses penilaian kredit semasa Bank.

 

Asset Triple A Sustainable Infrastructure Awards memberi penghormatan kepada institusi dan tawaran yang telah memberikan sumbangan besar kepada pembangunan infrastruktur mampan di Asia dari Januari hingga Disember setiap tahun.



« Back