Kembali ke Halaman Penuh

HARIAN METRO – BPMB catat keuntungan RM107.1 juta
Tuesday, 29 June 2021
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
 

Kuala Lumpur: Keuntungan bersih Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) di peringkat kumpulan susut 57 peratus kepada RM107.1 juta untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 daripada RM251.6 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

BPMP dalam kenyataan hari ini berkata, ia disebabkan peruntukan yang lebih besar untuk susut nilai terhadap pinjaman, pembiayaan dan pendahuluan meningkat tujuh kali ganda.

Di peringkat bank, keuntungan bersih jatuh 68 peratus tahun ke tahun kepada RM100.8 juta.

Kebanyakan peruntukan itu adalah untuk sektor pembinaan dan industri hotel dalam portfolio pembiayaan kumpulan BPMB, menyumbang hampir 75 peratus daripada jumlah elaun susut nilai untuk tahun 2020.

Bagaimanapun, nisbah susut nilai kewangan (GIF) menunjukkan peningkatan yang ketara kepada 11.3 peratus pada tahun 2020 berbanding dengan 12.2 peratus pada 2019 disebabkan oleh asas pembiayaan yang lebih besar akibat pertumbuhan dalam portfolio pembiayaan.

"Meskipun mengalami wakjtu yang mencabar susulan daripada penularan pandemik secara global yang berpanjangan, BPMB telah mencapai pertumbuhan portfolio pembiayaan 2.54 peratus untuk tahun ini, meningkatkan saiz portfolio kasar kepada RM18.5 bilion, mencatatkan pertumbuhan pertama sejak tahun 2016.

"Kebanyakannya disebabkan oleh pengeluaran yang lebih tinggi daripada pembiayaan baharu dan sedia ada," katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Arshad Mohamed Ismail berkata, BPMB akan terus menyokong kerajaan untuk memulihkan semula ekonomi menerusi pelbagai produk dan penyelesaian pembiayaan dengan penekanan diberikan kepada digitalisasi, inklusif dan kemampanan.

"Kami menyedari bahawa BPMB mempunyai peranan dalam memastikan golongan rentan dapat meneruskan kelangsungan hidup dalam beberapa tahun akan datang dan bersedia untuk perubahan ekonomi dan memacu Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi," katanya.