Kembali ke Halaman Penuh

BERITA HARIAN - Sektor tenaga jadi penyumbang pendapatan Worldwide
Monday, 29 March 2021
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
 

SHAH ALAM: Worldwide Holdings Bhd (Worldwide) menjangkakan portfolio tenaga dan tenaga boleh diperbaharui (RE) akan menjadi penyumbang terbesar pendapatan kumpulan dalam tempoh empat tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Worldwide, Datin Paduka Norazlina Zakaria, berkata portfolio tenaga kumpulan itu akan menyumbang sekitar 50 peratus pendapatan berdasarkan kepada penyiapan pembangunan projek stesen jana kuasa 1,200 MW turbin gas di Pulau Indah, Selangor.

Beliau berkata, ketika ini, terdapat empat portfolio di bawah kumpulan iaitu hartanah, tenaga, kesihatan dan tenaga boleh diperbaharui dengan sumbangan yang hampir sama.

"Sektor hartanah menyumbang sekitar 40 peratus manakala sektor tenaga dan tenaga boleh diperbaharui serta kesihatan masing-masing menyumbang sekitar 30 peratus.

"Namun selepas projek stesen jana kuasa di Pulau Indah siap sekitar 2024, segmen tenaga akan menjadi penyumbang utama kepada pendapatan kumpulan.

"Kumpulan juga mempunyai satu lagi projek tenaga boleh diperbaharui menggunakan bahan buangan sebagai tenaga yang akan memulakan fasa pertamanya tahun ini.

"Walau bagaimanapun sektor lain masih terus menjadi tumpuan kumpulan terutamanya hartanah kerana kita masih mempunyai simpanan tanah yang besar," katanya selepas majlis menandatangan perjanjian di antara Pulau Indah Power Plant Sdn Bhd (PIPP), syarikat usahasama Worldwide dan Korea Electric Power Corporation (KEPCO) dengan Maybank Islamic Bhd (Maybank Islamic), Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) dan UOB Malaysia Bhd.

PIPP memperoleh pembiayaan (Fresh Commodity Murabahah Term Financing-i Facility) sehingga RM2.7bilion berkaitan dengan pembangunan projek stesen jana kuasa 1,200 MW turbin gas di Pulau Indah, Selangor.

Majlis menandatangani perjanjian disaksikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Duta Besar Korea Selatan, Lee Chi-Beom.

Mengulas lanjut, Norazlina berkata, Maybank Islamic dan BPMB masing-masing memberikan pembiayaan sebanyak 40 peratus daripada jumlah keseluruhan pembiayaan manakala 20 peratus daripada UOB Malaysia.

Projek PIPP membabitkan kos sebanyak RM3.3 bilion dengan Worldwide mempunyai 75 peratus kepentingan dalamnya manakala KEPCO sebanyak 25 peratus.

Beliau berkata, projek jana kuasa itu kini sudah memasuki fasa pembinaan yang akan mengambil masa selama 36 bulan untuk disiapkan dan dijangka akan memulakan operasi pada Januari 2024.

Stesen jana kuasa itu katanya bakal menyokong keperluan tenaga elektrik yang semakin meningkat di Lembah Klang dan menampung bekalan beban asas tenaga di wilayah itu.

Tenaga berkarbon rendah yang dihasilkan stesen jana kuasa ini akan disalurkan ke wilayah tengah semenanjung Malaysia, membabitkan daerah seperti Klang, Sepang dan Kuala Langat yang mempunyai permintaan tenaga elektrik yang tinggi.

Sementara itu, Pengerusi Worldwide, Datuk Nor Azmie Diron, berkata projek itu bakal menggunakan bahan canggih paling inovatif di dunia, penyejukan, aerodinamik, pembakaran, dan keupayaan digital yang akan mengurangkan kesan kepada alam sekitar.

Beliau yang juga Pengerusi PIPP berkata, stesen jana kuasa itu dijangka beroperasi dengan kecekapan bersih lebih daripada 62 peratus, jauh lebih tinggi daripada stesen jana kuasa arang batu atau minyak yang setaraf dengannya.

"Kami di Worldwide berbesar hati kerana diberi kepercayaan oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri untuk menerajui pelbagai projek pembangunan dalam sektor tenaga, meliputi sumber tenaga terma dan tenaga boleh diperbaharui (RE) seperti hidro, solar dan Waste-to-Energy (WTE)," katanya.



« Back