Board of Directors

DATO’ SRI MOHAMED NAZIR ABDUL RAZAK

  Pengerusi Bukan Eksekutif

Dato ' Sri Mohamed Nazir Abdul Razak telah dilantik sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Lembaga Pengarah Bank Pembangunan Malaysia Berhad pada 22 April 2021. Beliau lulus dengan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam bidang Ekonomi dan Politik, Universiti Bristol serta memperolehi Sarjana Falsafah dalam Ekonomi Pembangunan dari Universiti Cambridge. Beliau juga adalah Felo Chevening di Pusat Pengajian Islam, Universiti Oxford pada tahun 2010 dan Felo Kepimpinan Transformasi di Blavatnik School of Government, Universiti Oxford pada tahun 2019.

 

Nazir membawa bersamanya lebih dari 29 tahun pengalaman dalam industri perbankan. Kerjaya beliau bermula pada tahun 1989 di Jabatan Penasihat Korporat Commerce International Merchant Bankers Berhad (kini dikenali sebagai CIMB Investment Bank Berhad). Beliau memegang pelbagai jawatan dalam firma itu sebelum dilantik sebagai Ketua Eksekutif pada bulan Jun 1999 pada usia 33 tahun. Nazir menerajui transformasi CIMB dari sebuah bank pelaburan di Malaysia kepada sebuah bank yang universal di rantau ASEAN melalui pemerolehan serangkaian bank di seluruh rantau ini. Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan selama lebih dari 15 tahun, sehingga 2014 apabila dilantik menjadi Pengerusi. Beliau bersara dari CIMB pada Oktober 2018.

 

Sepanjang kerjayanya di CIMB, beliau juga berkhidmat sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Khazanah Nasional selama 4 tahun dari 2014 hingga 2018 dan juga merupakan ahli Panel Pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja selama 15 tahun dari tahun 2002 hingga 2017.

 

Semenjak 2019 Nazir telah menjadi Rakan Pengasas dan Pengerusi Ikhlas Capital, sebuah syarikat ekuiti swasta ASEAN.

 

Nazir telah menerima pelbagai penghargaan di sepanjang kariernya. Pada tahun 2004, beliau dianugerahkan Anugerah CEO American Express dan Business Times of the Year. Beliau juga menjadi penerima termuda yang pernah mendapat penghargaan "Lifetime Achievement Award" Finance Asia yang berprestij pada tahun 2009. Selain daripada itu, beliau juga telah menerima Anugerah Pencapaian Luar Biasa Euromoney pada tahun 2012 dan Asia House Asian Business Leader Award untuk tahun 2015.

 

Nazir juga telah memberikan sumbangan yang besar dalam bidang filantropi. Beliau telah memainkan peranan penting dalam penubuhan Yayasan CIMB pada tahun 2007 dan kini menganggotai lembaga penasihat Pusat Filantropi dan Masyarakat Asia (CAPS) serta merupakan pemegang amanah kepada Tabung Amanah Kanser Urologi Universiti Malaya.

ARIFF BIN ROZHAN

  Pengarah Bukan Eksekutif Bebas

Ariff bin Rozhan dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Bank Pembangunan Malaysia Berhad pada 10 Mei 2019. Beliau memegang LLB (Kepujian) dari Universiti Reading, Berks, England dan merupakan Felo di Chartered Institute of Arbitrators.

 

Ariff telah mengamalkan undang-undang selama hampir 30 tahun. Beliau memulakan kerjaya pada tahun 1989 di sebuah firma undang-undang bertaraf antarabangsa di bandar London, dan selepas itu beliau berkhidmat sebagai Barrister/Peguam di London, England, di mana beliau diarahkan untuk bertugas sebagai Penasihat di pelbagai peringkat Sistem Kehakiman di England dan Wales. Beliau juga pernah ditugaskan sebagai peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya

 

Beliau kembali ke Malaysia pada tahun 2004 dan bertugas dengan Zaid Ibrahim & Co (ZICO), di mana beliau menguruskan jabatan Penyelesaian Pertikaian firma itu serta berkhidmat dalam Jawatankuasa Eksekutif sehingga April 2015. Beliau kemudian mengasaskan Ariff Rozhan & Co pada April 2015 sebagai Rakan Pengurusan. Ariff juga telah menubuhkan Chambers of Ariff Rozhan di London, England, dari memulakan kembali amalan sebagai Barrister/Peguam. Ariff juga telah diberi kuasa oleh Majlis Peguam England & Wales untuk "Menjalankan Litigasi" serta berdaftar untuk menerima arahan melalui Akses Langsung.

 

Ariff berpengalaman dalam menangani kes tuntutan dan pertikaian yang kompleks, dalam berbagai bidang termasuk timbang tara, pertikaian korporat dan komersial, insurans dan insurans semula, perbankan, pentadbiran, kebangkrutan, pembinaan dan hal-hal kontrak. Beliau juga memiliki pengalaman luas dalam kes-kes di mana penyiasatan forensik diperlukan. Pelanggan beliau merangkumi bank tempatan dan antarabangsa, syarikat tempatan dan antarabangsa utama, badan berkanun serta pihak berkuasa tempatan.

 

Beliau kini merupakan Rakan Pengurusan Ariff Rozhan & Co dan Pengarah Pan Malaysia Corporation Berhad.

 

NORAZILLA MD TAHIR

  Pengarah Bukan Eksekutif Bebas

Norazilla Md Tahir dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Bank Pembangunan Malaysia Berhad pada 14 Ogos 2020. Beliau mempunyai lebih dari 25 tahun pengalaman dalam pengurusan kewangan, terutamanya dalam Institusi Kewangan dan Pasaran Modal.

 

Sebelum dilantik sebagai Pengarah BPMB, Norazilla adalah Ketua Pegawai Kewangan Cagamas Berhad selama 9 tahun sejak pertama kali menyertainya pada tahun 2009. Beliau menerajui kepimpinan kewangan Kumpulan Cagamas dan bertanggungjawab untuk menegakkan pengurusan kewangan yang kukuh serta tadbir urus, sambil menyediakan maklumat kewangan tepat pada masanya, jitu dan boleh dipercayai serta meningkatkan kawalan dalaman.

 

Selain Cagamas, Norazilla pernah memegang jawatan Ketua Pegawai Kewangan/ Ketua Kewangan lain di tiga institusi perbankan Islam, iaitu RHB Islamic Bank Berhad, Asian Finance Bank Berhad dan Al Rajhi Banking and Investment Corporation (Malaysia) Berhad.

 

Selain dari bidang perbankan, Norazilla juga berpengalaman dalam barangan pengguna yang bergerak pantas, serta terlibat dalam pengurusan rantaian logistik penjualan ketika berada di L'Oreal Malaysia Sdn Bhd dan Universal Music Sdn Bhd.

 

Norazilla adalah lulusan Universiti Stirling, Scotland, seorang ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA) serta Felo Akauntan Berkanun Institut Akauntan Berkanun di England dan Wales (ICAEW). Beliau juga bersemangat untuk memberi bimbingan dan menjadi seorang mentor, dimana beliau meluangkan waktu sebagai sukarela bagi pelajar sarjana muda di UiTM INTEC.

THOMAS MEOW YOKE NEAN

  Pengarah Bukan Eksekutif Bebas

Thomas Meow Yoke Nean dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Bank Pembangunan Malaysia Berhad pada 2 Jun 2021. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) dari Universiti Malaya.

 

Thomas mempunyai pengalaman lebih dari 30 tahun dalam industri perbankan dan telah memegang beberapa jawatan di RHB Bank serta CIMB Group. Beliau memulakan kerjayanya sebagai FX Swap Trader di RHB Bank pada tahun 1990 dan menjadi Ketua Derivatif Berstrukturnya ketika beliau menubuhkan meja derivatif pertama, semasa tahun-tahun formatif pasaran derivatif Malaysia.

 

Beliau menyertai CIMB Group pada tahun 1997 di mana beliau telah memegang pelbagai jawatan sehingga 2019. Thomas menubuhkan francais Produk Berstruktur setelah beliau berkhidmat dengan CIMB Group. Dari tahun 1999, beliau juga telah membangunkan dan memimpin francais Sukuk serta Bon, sehingga ia menjadi penaja jamin terbitan bon mata wang tempatan terbesar di ASEAN, dan seperti yang dilaporkan oleh Bloomberg, salah satu penaja jamin terbesar di dunia untuk penerbitan Sukuk.

 

Thomas telah memimpin CIMB Discount House sebagai Ketua Pegawai Eksekutif sebelum ia digabungkan dengan CIMB Investment Bank. Tahun demi tahun, portofolionya telah berkembang meliputi pensekuritian, pinjaman sindikasi, pemerolehan pembiayaan dan projek di rantau Asean. Beliau juga berpengalaman dalam penciptaan dan sindikasi Pasaran Modal Hutang yang merangkumi Sukuk, bon, modal bank, Tahap 1, sub-debt, bon hibrid dan bon boleh tukar, juga di rantau Asean.

 

Pengalaman lain beliau yang sangat terkenal termasuk Perdagangan Pendapatan Tetap & Pembuatan Pasaran, pelaburan modal CIMB di pasaran pendapatan tetap, Perbankan Korporat yang meliputi Thailand, Singapura, Kemboja, Hong Kong & China, Pelaburan Situasi Khas, Pesawat Udara dan Kewangan Mezzanine.

 

Thomas memegang peranan sebagai Penasihat Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dari 2016 hingga 2019 dan merupakan ahli Jawatankuasa Pengurusan Kumpulan CIMB dari tahun 2015 hingga 2018; serta Pengerusi Jawatankuasa Pengunderaitan dan Kredit Kumpulan masing-masing dari 2015 hingga 2019 dan 2016 hingga 2019.

 

Sumbangannya yang paling ketara kepada industri yang lebih meluas adalah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pasaran Modal Hutang, Persatuan Perbankan Pelaburan Malaysia dari tahun 2006 hingga 2015 dan sebagai Timbalan Pengerusi Forum Pasaran Bon ASEAN+3, yang ditubuhkan di bawah naungan Inisiatif Pasaran Bon Asia, dari 2011 hingga 2015.

 

Thomas juga adalah Pengarah di LIM Asia Special Situations Fund yang dikendalikan oleh LIM Advisors Hong Kong dari tahun 2010 hingga 2015, dan sejak tahun 2020, beliau telah menjadi rakan kongsi BlackWater Ventures PLT, sebuah syarikat perkongsian pegangan pelaburan.

 

DATIN RASHIDAH MOHD SIES

  Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif

Datin Rashidah Mohd Sies dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Bank Pembangunan Malaysia Berhad pada 27 September 2021. Beliau memiliki Diploma Pentadbiran Awam daripada Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) dari Idaho State University (pada tahun 1986) dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari US International University California (pada tahun 1987).

 

Beliau memulakan kerjayanya pada tahun 1989 di Seksyen Pelaburan, Bahagian Kewangan, Kementerian Kewangan, dimana beliau diberikan tanggungjawab dalam menguruskan pinjaman Kerajaan dari pasaran modal antarabangsa. Pada tahun 1998, beliau ditugaskan ke Seksyen Penswastaan, Bahagian Kewangan, dimana beliau bertanggungjawab dalam menyelaraskan projek-projek penswastaan termasuklah Projek Pembangunan Putrajaya, projek dan penswastaan Kementerian Pengangkutan (iaitu ERL dan PTP) dan Kementerian Pertahanan. Beliau seterusnya ditugaskan ke Seksyen MKD, BSPN bagi mengendalikan perkara-perkara berkaitan dengan isu korporat syarikat-syarikat Kerajaan dari pelbagai sektor.

 

Beliau terlibat secara terus dalam urusan rasionalisasi dan penstrukturan semula fungsi dan peranan Bank Pembangunan dan Infrastruktur Malaysia Berhad termasuklah Bank Industri Malaysia Berhad. Pada tahun 2009, beliau ditempatkan di Sektor Ekonomi, BMKD untuk menyelaraskan projek-projek penswastaan serta mengendalikan perkara-perkara berkaitan isu korporat syarikat Kerajaan.

 

Antara jawatan-jawatan yang pernah disandang beliau adalah sebagai Timbalan Setiausaha Bahagian, Sektor Komersial, Bahagian Syarikat Pelaburan Kerajaan pada tahun 2016 dan sebagai Setiausaha Bahagian Syarikat Pelaburan Kerajaan pada tahun 2018. Kini, beliau merupakan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan) di Kementerian Kewangan.

 

Datin Rashidah juga pernah dilantik menjadi Ahli Lembaga Pengarah di Agrobank, Perbadanan Nasional Berhad dan Global Maritime Ventures Sdn Bhd. Beliau kini memegang jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, UDA Holdings Berhad, TRX City Sdn Bhd, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Perbadanan PR1MA.

 

OTHMAN BIN ABDULLAH

  Pengarah Bukan Eksekutif Bebas

Othman bin Abdullah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Bank Pembangunan Malaysia Berhad pada 22 Oktober 2021. Beliau memiliki Sarjana Muda Sains dalam bidang Kejuruteraan Komputer dari University of Michigan, Ann Arbor, Amerika Syarikat, serta Diploma Pascasiswazah dan Sarjana Sains dalam Perbankan Islam dan Kewangan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau juga memiliki Sijil Program Pengurusan Perniagaan Premier dari Harvard Business School dan Sijil Program Kepimpinan Kewangan Islam dari Cambridge IF Analytica. Kini, beliau sedang mengikuti pengajian ijazah doktor falsafah di Universiti Sains Islam Malaysia.

 

Othman mempunyai pengalaman lebih 24 tahun dalam bidang ekonomi digital dan teknologi kewangan, terutama dalam dalam pelaksanaan dan transformasi penyelesaian teknologi maklumat (IT) di mana beliau telah bekerjasama dengan sejumlah institusi kewangan di Asia, Timur Tengah dan Afrika.

 

Othman memulakan kerjayanya dengan Silverlake pada bulan Mei 1997 sebagai Eksekutif Pengurusan dan telah dinaikkan pangkat sebagai Naib Presiden pada tahun 2000. Pada bulan Januari 2007, beliau menyertai Bank Islam sebagai Pengurus Kanan, Ketua Pembangunan Aplikasi Teknologi Maklumat. Pada Julai 2007, beliau menyertai semula Silverlake sebagai Naib Presiden Eksekutif. Pada tahun 2010, beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Urusan mengetuai Bahagian Perbankan Islam. Pada bulan Julai 2017, beliau telah dijawatkan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif yang bertanggungjawab atas Perbankan Islam dan Perkhidmatan Inovatif.

 

Berkelayakan dalam bidang IT dan kewangan Islam serta dilengkapi dengan lebih dari dua dekad pengalaman dalam industri perkhidmatan kewangan, Othman telah meletakkan dirinya sebagai seorang pemimpin dalam bidang teknologi kewangan di ruang perbankan dan kewangan Islam. Beliau juga kerap serta menyumbangkan artikel dan pandangannya untuk penerbitan dan program-program televisyen. Beliau turut berucap mengenai perkara tersebut di persidangan-persidangan dan seminar-seminar.