Return to Full Page

BERITA HARIAN – Bank Pembangunan sasar pinjaman meningkat
Selasa, 16 Januari 2018
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
 

KUALA LUMPUR: Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) menjangkakan jumlah pinjaman yang disalurkan meningkat kira-kira lima peratus kepada RM4 bilion tahun ini, dengan portfolio yang lebih seimbang. Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulannya, Shahruddin Zainuddin, berkata sepanjang tahun ini, pihaknya menyasar mengimbangi semula portfolio syarikat perbankan itu dengan memberi tumpuan terhadap pembangunan empat sektor. Empat sektor berkenaan, katanya, ialah infrastruktur, minyak dan gas, maritim serta teknologi.

"Pertumbuhan pinjaman kami bergantung kepada projek pembangunan negara. Sebanyak 70 peratus penyata imbangan BPMB adalah berdasarkan infrastruktur. "Tahun ini, BPMB memberi tumpuan untuk mengimbangi semula portfolio kami dalam memberi tumpuan terhadap sektor yang tidak diberi fokus sebelum ini. "Sepanjang tahun lalu, BPMB kebanyakannya tertumpu kepada sektor infrastruktur. Jadi kami sedang mengimbangi semula portfolio terhadap sektor lain yang diberi mandat kepada BPMB," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran 'Workplace of the Future', di sini hari ini. Yang turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Pengerusi BPMB, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.
'Workplace for the Future' adalah inisiatif BPMB mengubah suai tempat kerja syarikat perbankan itu supaya dapat memberi motivasi dan aspirasi untuk meningkatkan produktiviti warga kerja kumpulan berkenaan. Ia juga selaras matlamat Transformasi Nasional 2050 (TN50) dalam menghasilkan tempat kerja lebih selesa dan fleksibel bersesuaian dengan cara berkerja pada masa akan datang. Shahruddin berkata, portfolio terkini BPM terdiri daripada 75 peratus sektor infrastruktur, 15 peratus minyak dan gas, manakala selebihnya adalah teknologi dan maritim. "Pada masa ini, kami sedang melalui program transformasi untuk kembali ke arah matlamat sebagai bank pembangunan. Tahun lalu, angka pinjaman mencapai RM4 bilion, namun kini kami tidak memberi tumpuan terhadap pertumbuhan pinjaman saja. "Kami memastikan supaya menerima keuntungan bersih yang lebih baik, sekali gus menjadikan kewangan institusi ini kekal kukuh," katanya.



« Back