Return to Full Page

BERITA HARIAN – Shaharuddin dilantik Presiden, CEO BPMB
Selasa, 12 September 2017
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
 

Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) mengumumkan pelantikan Shaharuddin Zainuddin sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan berkuatkuasa semalam.

Pengerusi BPMB, Tan Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, berkata pelantikan Shaharuddin itu bakal meningkatkan lagi peranan BPMB sebagai institusi kewangan pembangunan utama bagi negara dan rantau ini.

Tahniah kepada Shaharuddin atas pelantikannya. Beliau sebelum ini menyertai Lembaga Pengarah sebagai Pengarah Bebas pada 13 Februari 2017 dan pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Audit dan Pemeriksaan Kumpulan serta Ahli Jawatankuasa Eksekutif, Jawatankuasa Pengurusan Risiko Kumpulan dan Jawatankuasa Kredit Lembaga.

20 tahun pengalaman peringkat antarabangsa

Beliau juga mempunyai pengalaman selama 20 tahun di peringkat antarabangsa dalam bidang perbankan dan kewangan. Lembaga Pengarah menghargai pandangannya yang berharga dan nasihat yang bijak kepada Lembaga Pengarah dan kami yakin terhadap kemampuan Shaharuddin untuk memimpin kumpulan, katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Shaharuddin memperloleh Ijazah Sarjana Muda Sains Perakaunan daripada University of East Anglia, United Kingdom dan ahli Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun.

Beliau juga profesional berkelayakan dalam pelaburan, sekuriti dan niaga hadapan selain menjadi Wakil Berdaftar Sekuriti dan Niaga Hadapan dan pemegang Sijil Pengurusan Pelaburan Pertubuhan Kawal Atur Pengurusan Pelaburan, United Kingdom.

Shaharuddin sebelum ini pernah memegang pelbagai jawatan kanan dalam bidang perbankan dan kewangan di luar negara, iaitu sebagai Pengarah Operasi Perbankan di Organisasi Perakaunan dan Pengauditan untuk Institusi Kewangan Islam (AAOIFI) pengatur perbankan Islam Antarabangsa yang berpusat di Bahrain dan sebagai Ketua Pematuhan dan Keselamatan Kewangan Daerah daripada Credit Agricole Corporate and Investment Bank (Caylon). Beliau juga pernah berkhidmat di London, United Kingdom di mana beliau terbabit dalam perundingan Pengurusan Risiko kepada bank pelaburan terkemuka seperti Goldman Sachs dan UBS.



« Back