Return to Full Page

BERITA HARIAN – BPMB mahu lahirkan ramai murid cemerlang
Selasa, 15 Ogos 2017
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
 

Kuala Lumpur – Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) berhasrat melahirkan lebih ramai murid cemerlang menerusi penganjuran Klinik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan kerjasama BH.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat BPMB, Abdul Hanif Abu Bakar berkata program tanggungjawab social korporat (CSR) itu bagi memberi peluang pendidikan yang lebih baik kepada murid, termasuk dalam kalangan anak kakitangan syarikat itu.

Menerusi penganjuran klinik berkenaan juga katanya, murid berpeluang bertemu dengan tenaga pengajar yang berpengalaman, sekali gus mendapat panduan penting yang diperlukan dalam menjawab soalan peperiksaan.

Dengan bantuan penceramah yang juga guru pakar, BPMB yakin peserta akan didedahkan dengan teknik menjawab soalan peperiksaan mengikut format dan kehendak terkini seterusnya mendapat keputusan memberangsangkan.

Perkara ini terbukti apabila maklum balas diterima amat baik dan ramai yang berjaya dalam peperiksaan hingga diterima masuk ke sekolah berprestij tinggi antaranya Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), katanya ketika ditemui, di sini baru-baru ini.

Mahu membanggakan keluarga

Klinik UPSR BH Didik yang diadakan di Universiti Kuala Lumpur (UniKL), di sini disertai 200 murid, termasuk 38 anak kakitangannya yang bakal menduduki UPSR bulan depan.

Program dua hari itu membabitkan empat mata pelajaran, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Sementara itu, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Hicom, Shah Alam, Muhammad Zarif Syahmi, 12, berkata dia akan manfaatkan perkongsian ilmu oleh penceramah sebaiknya demi meraih keputusan cemerlang dalam UPSR tidak lama lagi.

Dengan ilmu dan panduan yang dikongsikan oleh penceramah BH, saya yakin mampu melakukan yang terbaik dalam peperiksaan sebenar, sekali gus membanggakan keluarga saya, katanya.



« Back