Return to Full Page

SINAR HARIAN – Rumah Ngaji buka ruang banduan dalami Al-Quran
Jumaat, 14 Oktober 2016
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
 

Melaka – Penjara Sungai Udang, di sini menjadi penjara kelima di negara ini bagi pelaksanaan program Rumah Ngaji di bawah tajaan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dengan kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI).

Sebanyak 10 penjara di negara ini dipilih bagi program berkenaan yang dilaksanakan sejak Mei tahun lalu bermula dengan Penjara Pengkalan Chepa, Kajang, Marang serta Pusat Koreksional di Dungun, Terengganu.

Timbalan Presiden Pejabat Presiden dan Pengarah Urusan Kumpulan BPMB, Azwa Md Sarif berkata, menjelang akhir bulan ini, tiga lagi penjara akan turut menerima tajaan tersebut iaitu Penjara Tapah, Sungai Petani dan Pusat Koreksional Perlis.

Menurutnya, program itu salah satu tanggungjawab sosial BPMB membabitkan nilai tajaan setiap buah penjara berjumlah RM25,000 meliputi penyediaan tempat, kelengkapan Rumah Ngaji serta tenaga pengajar.

Program Rumah Ngaji ini bertujuan membina budaya membaca dan memahami Al-Quran dalam kalangan penghuni penjara, sekali gus boleh menjadi platform terbaik untuk mereka mendalami ilmu agama. Ia menunjukkan rasa prihatin kami yang bukan sahaja kepada masyarakat di luar sana tetapi juga tidak ketinggalan masyarakat di sebalik tirai besi ini.

Selain itu juga, kita turut menyalurkan tajaan Rumah Ngaji ini kepada masyarakat Orang Asli terpilih yang mempunyai ramai komuniti Islam, katanya pada majlis penyerahan watikah Rumah Ngaji di Penjara Sungai Udang di sini, semalam.

Watikah diterima Pengarah Penjara Sungai Udang, Datuk Afifi Sulong sambil disaksikan beberapa pegawai kanan terlibat.

Sementara itu, Afifi berkata, pihaknya amat menyambut baik usaha murni dilaksanakan BPMB serta WUI.

Penjara Sungai Udang merupakan salah satu penjara yang amat bertuah kerana terpilih menerusi program ini. Saya berharap dengan adanya Rumah Ngaji ini, dapat memperkuatkan lagi program pemulihan sedia ada dalam membantu merubah sikap serta sahsiah penghuni terhadap masyarakat setempat kelak.

Setakat ini seramai 55 penghuni telah mengikuti program Rumah Ngaji yang kita tekankan aspek kemantapan makhraj huruh serta tajwid. Pendekatan digunakan juga membuatkan penghuni terlibat tidak berasa segan dan malu untuk mendekati Al-Quran, katanya.



« Back