Return to Full Page


BERNAMA – BPMB Peruntuk RM2 Juta Setahun Taja Pelajar ke Luar Negara
Selasa, 6 September 2016
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Kuala Lumpur – Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) memperuntukkan RM2 juta setiap tahun untuk menaja pelajar melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Presiden dan Pengarah Urusan Kumpulan BPMB Mohammed Rafidz Ahmed Rasiddi berkata, sehingga kini bank itu telah menaja 12 pelajar yang layak.

Biasiswa itu merangkumi yuran pengajian, elaun sara hidup, elaun buku, elaun komputer dan insurans kemalangan bagi tempoh pengajian tiga tahun.

Pemberian biasiswa sejak tiga tahun lepas merupakan antara tangggungjawab sosial BPMB bertujuan membantu membiayai kewangan pelajar yang layak selain menjana modal insan mahir.

Ini juga sebahagian daripada usaha kami melahirkan pelajar berkebolehan bukan hanya dalam bidang perakaunan malah dalam bidang teknikal, katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian biasiswa pengajian BPMB kepada empat pelajar di sini hari ini.

Empat penerima berusia antara 18 dan 20 tahun itu bakal melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan kewangan, perakaunan, sains aktuari dan matematik dan undang-undang di University of Warwick, University of Manchester dan University of Reading di United Kingdom.

Mengulas lanjut, Mohammed Rafidz berkata selepas tamat pengajian dalam jurusan masing-masing, kesemua pelajar tajaan akan ditempatkan di bawah program Latihan BPMB sebelum diambil berkhidmat oleh bank itu.

Muhammad Danish Hafiz Ibrahim 20, berkata beliau berasa amat bertuah apabila terpilih sebagai penerima biasiswa pendidikan tajaan BPMB.

Saya akan lakukan yang terbaik dan timba pengalaman bagi mematangkan diri sebelum pulang bekerja di Malaysia, kata pelajar yang mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Aktuari dan Matematik di University of Manchester.
Bagi Nur Dayana Muhammad Azhar 18, pula beliau berazam memanfaatkan sebaik mungkin peluang yang diberi untuk menimba ilmu perundangan di University of Reading.



« Back