Return to Full Page


UTUSAN SARAWAK – Sarawak berprestasi baik tarik pelabur asing
Khamis, 25 Ogos 2016
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Kuching – Sarawak kini berada pada landasan untuk menjadi koridor Pembangunan wilayah yang sangat penting dan ia menunjukkan prestasi yang baik dalam menarik pelaburan asing serta domestik secara konsisten.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata pencapaian itu bukan secara kebetulan tetapi hasil kerja keras dan usaha serta dasar mesra perniagaan daripada Kerajaan Negeri.

Kami bangga dengan pencapaian ini yang mencerminkan daya tahan dan kekuatan struktur sosial serta politik negeri, katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Forum Infrastruktur Bank Pembangunan 2016 di salah sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

Teks ucapannya dibaca Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan, Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing yang mewakili beliau.

Adenan berkata, kerajaan sedar untuk membangunkan infrastruktur ia bukan sahaja memerlukan batuan masyarakat umum tetapi juga penyertaan daripada sektor swasta dan institusi kewangan.

Pada masa sama katanya, Kerajaan Negeri akan terus memainkan peranannya yang mesra Pentadbiran dan melindungi Sarawak sebagai destinasi kegemaran pelaburan bagi pelabur asing serta domestik.

Adenan juga berkata ekonomi Sarawak adalah antara yang paling pelbagai di negara ini dengan pelbagai sub-sektor yang menyumbang pertumbuhan dua digit dan ia telah berkembang pada kadar yang pesat selaras dengan matlamat yang ditetapkan dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Beliau berkata Sarawak telah membuat sumbangan besar kepada beberapa inisiatif Program Transformasi Ekonomi (ETP) di bawah Bidang Ekonomi Utama (NKEA). Katanya selain sebagai pengeluar terbesar bagi minyak, gas dan tenaga, Sarawak juga mempunyai potensi besar dalam beberapa sektor ekonomi lain.

Antaranya bidang pelancongan, komunikasi, infrastruktur dan pertanian yang dilihat mempunyai potensi besar dalam menyumbang kepada Pembangunan ekonomi negeri, katanya.





« Back